Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguatkuasakan semula Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), khususnya kepada individu yang tidak memakai pelitup muka di kawasan tertutup sekiranya jangkitan Covid-19 meningkat dengan mendadak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup masih diwajibkan dan ia semakin tidak dipatuhi.

“Kita tengok banyak keadaan di mana walaupun bangunan tertutup tapi ramai tidak pakai pelitup muka.

“Saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia pemakaian pelitup muka di premis tertutup masih wajib cuma sejak 17 April kita sudah tidak lagi keluarkan notis kompaun sebab KKM pada waktu itu buat keputusan selari fasa peralihan ke endemik kita utamakan pemerkasaan komuniti dan tanggungjawab individu tidak lagi penguatkuasaan undang-undang,” katanya ketika sidang media perkembangan jangkitan Covid-19, hari ini.

Menurut Khairy, semenjak kerajaan mengumumkan fasa peralihan ke endemik, rakyat sepatutnya mempunyai tanggungjawab kendiri untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Saya masih merayu atas solidariti komuniti, pemerkasaan individu agar kita sukarela patuh kepada pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kecuali berucap, makan dan ambil gambar. Ini langkah berkesan untuk kita kurangkan jangkitan Covid-19 di negara,” tambahnya.

Bidang kuasa penguatkuasaan Akta 342 yang diberikan kepada beberapa agensi kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 ditarik balik pada 25 Jun lalu.

Sejajar pemansuhan berkenaan, kini hanya KKM berkuasa untuk mengeluarkan kompaun kepada mereka yang ingkar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast