KUALA SELANGOR – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menyokong usaha Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) untuk membantu 260,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam kalangan B40 yang tercicir di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bagi memberi peluang pelajar-pelajar khususnya dalam kawasan luar bandar untuk melanjutkan pengajian di Institut pengajian tinggi awam (IPTA).
“MOF akan terus menyokong usaha ini kerana terdapat 260,000 anak-anak Keluarga Malaysia termasuk di Kuala Selangor.
“Ia untuk memberi peluang kepada mereka menyambung pengajian tinggi dan kemahiran,” katanya kepada pemberita di Dewan Dato Penggawa Permatang, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 Parlimen Kuala Selangor.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan
Tambahnya, melalui siri jelajah itu, pihaknya mensasarkan sehingga 1,500 pelajar lepasan SPM dan STPM dibantu untuk melanjutkan pengajian ke institusi awam dan swasta serta kemahiran teknikal bagi daerah Kuala Selangor termasuk Tanjung Karang, tahun ini.
“Sasaran kita 1,500 pelajar (SPM dan STPM) dalam daerah Kuala Selangor termasuk Tanjung Karang untuk penganjuran pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, pelajar yang terpilih dan layak syarat akan menyambung pengajian mereka di 19 institusi pendidikan tinggi dan kemahiran dalam siri jelajah pendidikan itu, di sini.
“Saya difahamkan siri jelajah pada tahun ini bakal meneroka dan mendekati golongan bersasar di 50 kawasan Parlimen seluruh negara.
“Pada tahun ini sahaja kita sasarkan 30 kawasan Parlimen untuk kita capai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette