Kereta Volkswagen milik sepasang kekasih remuk akibat bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang memandu secara melawan arus di BORR, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Polis menahan pemandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang memandu secara melawan arus di Kilometer 4.5 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, suspek ditahan selepas tampil membuat laporan polis berhubung kemalangan yang berpunca daripada tindakannya memandu secara melawan arus.

“Suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan malam tadi dan perintah reman terhadapnya akan dibuat pagi nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohd Radzi.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis cari pemandu Mitsubishi Triton lawan arus di BORR
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, polis buru pemandu sebuah pacuan empat roda yang memandu secara melawan arus hingga menyebabkan kemalangan di Kilometer 4.5 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini pada Sabtu lalu.

Kejadian jam 12 tengah malam itu mengakibatkan pemandu serta penumpang kereta jenis Volkswagen mengalami kecederaan.

Siasatan polis mendapati sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna putih didapati melawan arus dari arah Bagan Ajam sebelum bertembung dengan kereta Volkswagen tersebut.

Akibat pertembungan itu, pemandu lelaki berusia 27 tahun dan teman wanitanya, 25, masing-masing mengalami kecederaan di bahagian perut. – MalaysiaGazette