Mohammad Hamdan Wahid

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,250 kekosongan jawatan dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan diisi sehingga hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kekosongan berkenaan merangkumi 1,000 anggota dan pegawai Gred KB19 yang akan dilantik pada Majlis Tamat Latihan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 1/2022 pada 14 hingga 18 Julai ini.

Manakala 250 lagi anggota akan ditauliahkan bagi gred  KB29 dan KB41 pada Ogos ini.

“Untuk gred KB29 dan 41 mereka ini terdiri daripada pegawai-pegawai kanan, penyelia, pengurus, ketua balai,” katanya kepada pemberita ketika Program Ibadah Korban Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bersama warga JBPM Tahun 2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14 hari ini.

Jelas Mohammad Hamdan, kekosongan ini bagi menampung kekurangan anggota dan pegawai sejak 2020 dan 2021 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Kita percaya mereka ini akan ditempatkan di balai-balai baharu, yang penjawatannya belum diisi, kedua mengisi kekosongan dan mengganti pegawai-pegawai yang bersara,” tambahnya.

Ujar beliau, pegawai dan anggota baharu itu kelak akan diletakkan di balai-balai baharu di seluruh negara.

Dalam masa yang sama, Mohammad Hamdan berkata, sebanyak 1,630 kekosongan jawatan dalam jabatan itu dijangka akan diisi pada tahun depan selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Untuk rekod, sebanyak 15,300 anggota dan pegawai bomba di seluruh negara setakat ini.- MalaysiaGazette