KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan 25 mata asas lagi dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang pada 8 September 2022, kata OCBC Bank.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Ahli Ekonominya Selena Ling berpendapat, bank pusat itu dijangka tidak akan berbuat demikian pada November 2022 bagi menilai keseimbangan antara risiko inflasi dan kemelesetan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
“Melangkah ke hadapan, kami mengunjurkan BNM akan terus meningkatkan kadar tersebut. Dalam persekitaran suasana kadar faedah global yang meningkat dan tekanan inflasi domestik, terdapat kemungkinan kenaikan OPR berturut-turut berbanding kitaran kenaikan lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata, langkah mengetatkan dasar monetri itu akan dilaksanakan apabila ekonomi dijangka masih mencatatkan pemulihan kukuh secara umumnya biarpun momentumnya perlahan akibat faktor global.
Berikutan itu, katanya, adalah sesuatu yang positif untuk melihat Malaysia memulakan tahun ini dengan lebih kukuh termasuk keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan lebih tinggi daripada dijangkakan iaitu 5.0 peratus.
“Bagaimanapun, kita masih bernasib baik (kerana mampu) mencatat pemulihan dalam permintaan domestik dan komponen eksport yang tidak boleh diabaikan kerana kesannya terhadap ekonomi keseluruhannya terutama menerusi pemulihan aspek pekerjaan,” katanya.
Sehubungan itu, Ling berkata, biarpun unjuran OCBC bagi pertumbuhan KDNK tahun penuh akan meningkat akibat kenaikan lebih tinggi di luar jangkaan pada suku pertama, tinjauan bagi tempoh berbaki tahun ini adalah tidak menggalakkan.
“Secara keseluruhannya, kami kini menjangkakan pertumbuhan bagi tahun penuh 2022 adalah pada 5.7 peratus berbanding 5.4 peratus sebelum ini.
“Di samping itu, sekiranya pertumbuhan ke destinasi eksport utama seperti China dan Amerika Syarikat mula susut, pertumbuhan Malaysia juga mungkin terjejas biarpun kadarnya masih memuaskan,” katanya. – BERNAMA
















