KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli untuk memudahkan pembelian produk insurans dan takaful yang merangkumi perlindungan hayat dan penyakit kritikal pada premium yang berpatutan daripada Akaun 2.
Tawaran perlindungan kepada ahli KWSP itu berkuat kuasa serta merta.
Ahli yang ingin membeli produk insurans dan menyertai produk takaful yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan KWSP boleh melakukannya melalui platform i-Lindung yang terkandung dalam portal i-Akaun (Ahli) KWSP. Syarikat insurans dan pengendali takaful tersebut adalah FWD Takaful Berhad, Prudential Assurance Malaysia Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa Life Insurance Berhad, dan Etiqa Family Takaful Berhad.
“Platform layan diri i-Lindung ini, yang boleh diakses pada bila-bila masa, membolehkan ahli mendapatkan maklumat produk sedia ada berserta harga, dan memperoleh sebut harga sebelum melakukan pembelian pada bila-bila masa, di mana jua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Paparan tunggal polisi/sijil yang telah dibeli juga akan disertakan, seterusnya memudahkan ahli untuk merujuknya dengan pantas dan selamat.
Untuk nilai tambah, syarikat insurans dan pengendali takaful di platform i-Lindung mampu menyediakan perlindungan tambahan dan menyesuaikan harga produk mereka mengikut kemampuan ahli.
Tiada pemeriksaan perubatan diperlukan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam melancarkan i-Lindung KWSP hari ini berkata,menerusi Program Transformasi GLC yang telah
dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memacu pemulihan dan pembinaan semula ekonomi negara pasca-pandemik melalui ekosistem Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), salah satu aspek terpenting adalah pengukuhan perlindungan sosial dan tanggungjawab ini telah diberikan kepada KWSP.
“Setakat ini, strategi ini telah pun membuahkan hasil, di mana pendaftaran ahli baharu telah meningkat 57% kepada 146,000 ahli dalam suku tahun pertama 2022, manakala pencarum sukarela terkumpul di bawah program i-Saraan telah melonjak naik 77% kepada 599,000 orang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette