Jemaah haji yang melakukan Nafar Thani tiba di bangunan penginapan di Mekah, Foto FB Tabung Haji

MAKKAH – Kesemua 14,305 jemaah Malaysia selesai melaksanakan ibadah haji tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Menerusi laporan Operasi Tanah Suci Tabung Haji (TH), daripada jumlah tersebut seramai 5,795 jemaah telah meninggalkan Mina semalam, selepas melakukan nafar awal manakala selebihnya pada hari ini.

Jemaah haji yang telah berada di Makkah turut dibawa melakukan ibadah tawaf dan saie, bagi melengkapkan ibadah itu selain wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan melontar jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Berdasarkan kuota yang diperuntukan kepada TH, seramai 14,306 jemaah telah menerima tawaran mengerjakan rukun Islam kelima itu, namun seorang daripadanya iaitu jemaah lelaki berusia 62 tahun telah meninggal dunia pada 25 Jun, ekoran jangkitan kuman.

Selain itu, bagi memastikan operasi membawa jemaah dari Mina ke Makkah berjalan lancar, sebanyak 110 buah bas telah digunakan bermula 6.30 pagi hingga 12 tengah hari, bermula semalam.

Jemaah haji sebelum ini telah bergerak ke Arafah bermula 7 Julai (8 Zulhijjah), kemudiannya pada 9 Zulhijjah berangkat ke Muzdalifah dan seterusnya bergerak ke Mina untuk bermalam di sana bagi melaksanakan ibadah melontar.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati, sepanjang perjalanan operasi Masyair iaitu melibatkan Arafah, Muzdalifah dan Mina, kebajikan jemaah haji sentiasa terjaga malah pergerakan mereka akan dipantau dengan baik.

Ketika di tiga lokasi tersebut, bukan sahaja klinik disediakan di setiap maktab (penginapan) tetapi juga rondaan dari semasa ke semasa untuk meninjau tahap kesihatan jemaah dan membuat rawatan segera.

Lebih menarik apabila melihat kesungguhan petugas yang memantau pergerakan jemaah dari Mina ke kawasan Jamrah untuk ibadah melontar, kerana mereka perlu memastikan tiada jemaah yang tersesat sepanjang 10 kilometer perjalanan pergi dan balik.

Tanpa kerusi mahupun lokasi yang selesa, petugas perlu berdiri sekurang-kurangnya empat jam dan kemudiannya bergerak mencari jemaah jika ada yang terpisah dari rombongan maktab masing-masing.

Petugas unit bimbingan haji juga memainkan peranan penting tanpa mengira waktu, kerana perlu menjawap kemusykilan bagi memastikan kesemua jemaah telah melengkapkan apa yang sepatutnya serta memperoleh haji mabrur. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast