KUALA LUMPUR – Kewujudan surat perjanjian persefahaman (MoU) pembentukan kerajaan baharu antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perikatan Nasional (PN) hanya menguntungkan UMNO kerana Perdana Menteri datang daripada parti Melayu itu.
Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, ia terbukti apabila parti berada pada landasan tepat untuk menerajui semula tampuk kepimpinan negara, seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Dengan adanya Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, kelebihan kepada UMNO untuk menghadapi PRU15 berbanding UMNO sebagai pembangkang atau semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Sekiranya ada perjanjian tersebut, seperti surat perjanjian yang diviralkan, ia menguntungkan parti sebab Perdana Menteri adalah daripada orang UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, blogger Raja Petra Kamaruddin mendedahkan dua helaian surat MoU pembentukan kerajaan baharu PN atau dikenali Kerajaan Keluarga Malaysia, Isnin lalu.
Berikutan pendedahan itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam pula mendesak Ismail Sabri dan Tan Sri Annuar Musa dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO kerana telah menipu berhubung kewujudan perjanjian bertulis dengan PN itu.
Mohd Isam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh juga mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang cuba merosak dan melaga-lagakan keharmonian kepimpinan UMNO ketika negara berada dalam landasan betul.
“Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih tampuk kepimpinan negara dalam keadaan teruk iaitu dengan pandemik dan ekonomi yang tidak stabil.
“Perdana Menteri sudah tegaskan banyak kali bahawa beliau orang parti, jadi tak mungkin Datuk Seri Ismail Sabri akan membelakangkan parti,” katanya.
Tambahnya, Perdana Menteri nyata tidak membelakangkan UMNO dengan akur kepada kehendak parti untuk menyegerakan PRU15, seperti mana yang dipersetujui semua peringkat termasuk “top five“, Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Sebagai ahli parti, Perdana Menteri dan kami sendiri sentiasa mengikut arahan pucuk pimpinan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau dan UMNO Bahagian Tampin sentiasa bersiap sedia dan memberi fokus untuk menghadapi PRU15, malah tidak terkesan dengan sebarang provokasi untuk melemahkan semangat ahli dan jentera parti.
“Kami UMNO Bahagian Tampin berharap pilihan raya diadakan lebih cepat agar pengundi dapat menentukan kepimpinan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette