Logo PROTON

KUALA LUMPUR –  Proton Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya PONSB Capital Bhd telah berjaya memuktamadkan terbitan bahagian kedua Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM700 juta di bawah program Sukuk Wakalahnya.

Dalam satu kenyataan, syarikat pengeluar kereta nasional itu berkata IMTN berkenaan telah terlebih langganan hampir empat kali ganda.

Program Sukuk Wakalah Proton terdiri daripada Kertas Komersial Islam (ICP) yang bernilai RM1.0 bilion dalam nilai nominal bersama IMTN yang bernilai RM4.0 bilion dalam nilai nominal yang mempunyai had gabungan sehingga RM4.0 bilion nilai nominal berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Bahagian kedua untuk IMTN yang bernilai RM700 juta adalah susulan daripada bahagian pertama IMTN bernilai RM500 juta yang telah dilengkapkan pada bulan Disember tahun lepas.

Ketua Pegawai Kewangan Proton Wang Huaibing berkata dana yang diperoleh akan membantu membiayai rancangan pembangunan masa depan syarikat serta keperluan modal operasi.

“Kami berazam untuk melaksanakan strategi pertumbuhan syarikat dan pada tahun-tahun akan datang terdapat beberapa perkembangan menarik dalam rancangan kami. Ini termasuk pelancaran produk baharu, menembusi lebih banyak pasaran eksport dan memasuki segmen kenderaan tenaga baharu,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau yakin dengan jumlah dana sebanyak RM4 bilion, masih terdapat banyak peluang untuk lebih ramai pelabur menyertainya.

— BERNAMA