KUALA LUMPUR – Hak melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepenuhnya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, hanya Perdana Menteri yang boleh menentukan sama ada jawatan itu perlu diisi segera atau sebaliknya.
“Jawatan TPM itu hak prerogatif Perdana Menteri, hak beliau jadi biar beliau putuskan walau ada perjanjian bersama atau apa sekalipun, biarkan pada Perdana Menteri.
“Sama juga pilihan raya hak Perdana Menteri juga, beliau ada laporan, tahu apa yang berlaku di persekitaran, di antarabangsa, ASEAN, jadi beliau boleh putuskan berdasarkan maklumat yang ada,” katanya.
Mahdzir berkata demikian bagi mengulas isu pelantikan TPM yang didakwa termakbul dalam perjanjian antara Ismail Sabri; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Tan Sri Annuar Musa daripada UMNO.
Menurut Mahdzir, semua pihak perlu menghormati hak prerogatif yang dimiliki Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.
Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan Perdana Menteri membubarkan Parlimen jika Bersatu berterusan mendesak lantikan jawatan TPM.
Mengulas mengenai keputusan yang bakal dibuat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan permohonan UMNO meminda perlembagaan parti itu, Mahdzir berkata, UMNO perlu menerima keputusan ROS.
“Setakat ini kita tidak dapat lagi (keputusan) dan kita perlu tunggu keputusan, apabila keputusan keluar pada waktu itu kita terima keputusan apa yang diputuskan.
“Ada dua (keputusan) sama ada lulus atau tidak lulus, itu sahaja, kalau tidak lulus pemilihan UMNO kena buat dahulu, selepas itu baru pilihan raya, kalau lulus mungkin boleh pilihan raya dahulu dan baru buat pemilihan,” jelasnya. – MalaysiaGazette















