KOTA BHARU – Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang hanya memiliki lesen L, ketika berjalan kaki di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh berhampiran Sekolah Kebangsaan Padang Kala, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi, ketika mangsa Nik Mohd Hissham Mohamed Nor, 45, sedang berjalan dari sekolah tersebut menuju ke rumah sepupunya yang terletak di seberang jalan berhampiran lokasi kejadian.

“Menurut keterangan saksi, ketika Nik Mohd Hissham berada di bahu jalan dari arah Peringat ke Melor, datang sebuah kereta Perodua Axia dari arah belakang telah termasuk ke bahu jalan lalu melanggar mangsa yang berada di bahu jalan.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa terseret sejauh 29 meter ke bahu jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata kejadian itu mengakibatkan kereta terlibat mengalami kerosakan pada bahagian bampar dan cermin hadapan pecah, namun pemandu berusia 25 tahun dan penumpang kereta, 24, tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya ujian saringan air kencing terhadap pemandu dan penumpang kereta terbabit didapati negatif.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai disebabkan kecuaian dan kelekaan pemandu kereta yang tidak berhati-hati dan berhemah hingga menyebabkan berlakunya kemalangan serta kematian kepada mangsa.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

— BERNAMA