Seorang warga Afrika dituduh menipu dalam membuat cucian wang Ringgit Malaysia (Black Money) sehingga menyebabkan kerugian RM310,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 15 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Sierra Leone hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas dakwaan memperdaya dan menipu seorang wanita sebanyak RM50,000 pada Mei lalu.

Bagaimanapun, Aruna Saccoh, 39, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Tertuduh yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) tamat tempoh Mei 2021 dibawa ke mahkamah pada jam 9.40 pagi.

Saccoh berpakaian reman jingga dan tangan bergari diiringi pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Sarjan Tharani Sivarajan dan dua lagi anggota polis.

Mengikut fakta kes pertuduhan, Aruna didakwa telah menipu seorang wanita tempatan bernama Chee Ting Han, 32, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM50,000 dengan memperdayakannnya dengan mendakwa dia boleh menggandakan wang dengan menggunakan cecair kimia atau ‘cuci wang’.

Saccoh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah didakwa melakukan perbuatan itu pada 30 Mei 2022 di hadapan tempat letak kereta OUG Parklane, Brickfields, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh juga dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Nurliana Mohd Jafri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Saccoh juga tidak ditawarkan sebarang wang jaminan.

Menurut Nurliana, tertuduh juga akan menghadapi satu lagi pertuduhan membabitkan mangsa yang sama di Mahkamah Sepang minggu depan dengan wang penipuan berjumlah RM260,000.

Hakim Kamarudin Kamsun.menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette