CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu meneliti semula beberapa perkara sebelum melaksanakan potongan perbelanjaan kepada perkhidmatan awam ini terutama perkara yang boleh mengakibatkan ‘gangguan’ kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, pada dasarnya pihaknya menyambut baik Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang bertujuan untuk melaksanakan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaanan.

Malah ia menyifatkan tindakan ini sebagai contoh ‘kepimpinan melalui teladan’ kerana kerajaan menggalakkan rakyat berjimat cermat dalam perbelanjaan, sekali gus mencerminkan keseriusan kerajaan untuk menangani peningkatan kos sara hidup dan inflasi bersama-sama dengan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, adalah tidak wajar jika kerajaan memotong perbelanjaan sehingga mengakibatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam terjejas.

Ini kerana, pada akhirnya perkhidmatan awam akan dihakimi oleh rakyat sebagai gagal kerana tidak mampu memberi perkhidmatan yang terbaik.

”Perkara ini termasuklah hal-hal yang melibatkan perjawatan. Terdapat banyak kekosongan perjawatan yang tidak diisi ketika ini dan jika ia diperketatkan, CUEPACS bimbang banyak jabatan akan terjejas terutama sektor penting seperti kesihatan, keselamatan atau perkhidmatan langsung kepada rakyat,” katanya.

Adnan menambah, CUEPACS tidak boleh bertolak ansur sekiranya penjimatan atau potongan perbelanjaan itu melibatkan perkara penting atau memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Bagaimanapun perkara- perkara lain yang disentuh oleh garis panduan tersebut adalah wajar dan perlu diambil tindakan oleh semua warga perkhidmatan awam terutama ketua jabatan bagi memastikan kejayaannya.

Jelasnya, setiap ketua jabatan perlu bijak menilai perkara yang perlu dan tidak perlu serta tidak salah mentafsir garis panduan penjimatan tersebut yang pada akhirnya memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Setiap perkara yang tidak jelas perlulah dirujuk terus kepada Kementerian Kewangan bagi memastikan keputusan tersebut tidak memberi kesan kepada perkhidmatan awam.

CUEPACS juga berharap pelaksanaan garis panduan ini juga tidak menjejaskan pelaksanaan segala inisiatif kepada penjawat awam yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Antara inisiatif tersebut seperti gantian cuti rehat (GCR) boleh ditebus 80 hari yang sehingga kini belum dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast