Foto hiasan

SEMENTARA hari ini genap empat tahun mandat kerajaan secara formal dipenuhi, mengambil kira tarikh sidang Parlimen pertama susulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tumpuan kini beralih kepada keputusan yang akan dibawakan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pelbagai pandangan diketengahkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Begitu juga tanggapan dan spekulasi pelbagai pihak. Misalnya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpandangan UMNO harus menerima apa jua keputusan RoS berhubung permohonan untuk meminda perlembagaan berkaitan pemilihan partinya. Kata beliau, hanya ada dua kemungkinan yang akan berlaku kepada UMNO selepas RoS membuat keputusan berkenaan. Sama ada pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya permohonan diluluskan atau pemilihan diadakan sebelum PRU15 jika berlaku sebaliknya.

Anggota Jemaah Menteri Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu menarik pandangan bahawa sebarang kemungkinan keputusan bergantung kepada RoS, yang kemungkinan diputuskan selewat-lewatnya hari ini, dan jika tidak, awal minggu depan. Kemungkinan besar akan diumumkan bulan ini juga. Sebelum ini, RoS mengatakan bahawa keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya 16 Julai ini, melibatkan pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang memberi tempoh untuk parti melanjutkan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum.

Pada 15 Mei lalu, seramai 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian menghadiri Perhimpunan Agung UMNO Khas dan sebulat suara meluluskan usul pindaan terbabit. Ini bukan kali pertama UMNO menangguhkan pemilihan parti bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum. Jadi, mengapa ia menjadi perhatian khusus?

Dalam pada itu, menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, menjadi hak jabatan itu untuk mengambil sedikit masa lagi bagi membuat keputusan. Bagaimanapun tegas beliau, pihaknya sudah ada pelan A dan pelan B untuk dilaksanakan apabila RoS mengumumkan keputusannya. Beliau merahsiakan pelan kontigensi mereka. “Sukacita ingin dinyatakan segala prosedur telah diikuti dan saya menanti dengan fikiran positif yang kelulusan akan diperoleh,” demikian menurut Ahli Parlimen Pontian itu. Malah beliau juga positif yang RoS akan meluluskan pindaan perlembagaan UMNO yang dihantar kepadanya 17 Mei lalu. Keyakinan Ahmad itu berdasarkan empat perkara kukuh yang membuatkan RoS tiada sebab tidak meluluskannya.

Apa pun dua senario adalah jelas: RoS akan menerima pindaan yang diputuskan atau bertindak menolaknya. Satu Malaysia menanti dengan penuh debaran keputusan RoS. Banyak pihak, sama ada politik mahupun bukan politik, tidak berani menggerakkan tindakan mereka. Ramai yang menangguhkan keputusan sehingga adanya keputusan yang jelas daripada RoS. Ramai mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Oleh itu, keputusan RoS dan tindakan UMNO sendiri dilihat akan menjadi penentu kepada tarikh PRU15. Sama ada akan disegerakan ataupun sebaliknya. Jika pindaan diterima, bermakna UMNO boleh menangguhkan pemilihan parti, dan memberi tumpuan kepada PRU15. Dan, parti itu akan terus menggesa agar PRU15 disegerakan.

Jika sebaliknya, UMNO, yang dikatakan sedang mengatur beberapa tindakan susulan dengan pelan A dan pelan B mereka, pertamanya akan membuat rayuan kepada RoS, dalam tempoh 14 hari ini, berhubung keputusan terhadap pindaan perlembagaan. UMNO akan menggunakan ruang masa yang ada untuk membolehkan pemilihan parti ditangguhkan.

Tindakan selain itu, termasuklah kemungkinan mencabar di mahkamah. Membawa RoS ke mahkamah. Bagi kepimpinan UMNO yang terdiri pihak yang tidak berada dalam kerajaan, keputusan mahu menangguhkan pemilihan parti tidak melanggar mana-mana peruntukan kerana ia dilaksanakan mengikut ruang lingkup perlembagaan parti.

Kemungkinan tindakan membawa ke mahkamah juga boleh merugikan parti kerana ia mengambil masa, sekali gus dengan sendiri melewatkan pemilihan parti.

Adakah tindakan mahkamah sesuatu yang janggal dan tidak pernah berlaku sebelum ini? Hanya ahli parti yang tidak boleh membawa kes ke mahkamah. Kebanyakan parti, daripada 69 parti yang berdaftardengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dengan lebih 87,000 cawangan di seluruh, mempunyai peruntukan sedemikian. Jika tidak silap tidak ada parti yang pernah mencabar RoS berhubung keputusannya dalam aspek melewatkan pemilihan kerana pilihan raya.

Malah, sebelum ini terdapat jugaparti-parti politik yang membawa RoS ke mahkamah. Ada yang menang dan ada yang tewas.

Dalam kes UMNO sekarang, alasan yang diketengahkan ialah RoS tidak boleh mempertikaian pindaan perlembagaan yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan parti. Setiap parti boleh menentukan perlembagaan khas mereka. Dalam kes ini, mesyuarat agung tahunan khas pada Mei lalu. Ahli-ahli UMNO menerusi perwakilan masing-masing telah memberi amanah untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga ke tahun depan.

Dua peringkat kepimpinan dalam UMNO dilihat mempunyai kelainan dan kecenderungan pendirian berhubung bakal keputusan RoS. Satu kumpulan mahu pemilihan parti ditangguhkan manakala satu lagi kumpulan mahu pemilihan parti didahulukan sebelum PRU15.

Bertolak dari apa jua keputusan RoS, ia akan membawa kepada kesan yang berbeza kepada parti dan kerajaan. Ia akan membawa kepada pengukuhan pengaruh kepimpinan masing-masing kumpulan dalam UMNO menjelang PRU15.

Keputusan RoS jika tidak memihak kepada hasrat pindaan perlembagaan UMNO, maka ia boleh melewatkan PRU15 sehingga tahun depan.

Selain itu, keputusan RoS itu juga boleh membawa impak kepada pola kelulusan bajet 2023, yang bakal dibawa ke Parlimen Oktober ini, apabila dibahas dan hendak diluluskan.

Ketika tingkap sesuai untuk mengadakan PRU15 sudah pun berlalu, kini kesemuanya berkisar dalam lingkungan bila Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15. Pada masa yang sama situasi semasa juga satu cabaran dan ujian cukup besar bagi RoS untuk dilihat bertindak dengan bebas dan telus, tanpa pengaruh mana-mana pihak.

Dr G Manimaran merupakan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast