najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Banyak suara sumbang yang kini sibuk menjaja cerita kononnya hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semakin tegang, kata Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu menjelaskan, suara itu mendakwa Ismail Sabri perlu dikenakan tindakan parti sekiranya UMNO gagal meminda perlembagaan untuk menangguh pemilihan.

Menurut beliau, sebelum ini perdana menteri turut difitnah menjadi  ejen Bersatu dan hari ini beliau dituduh cuba memecah belahkan UMNO dengan tohmahan sudah tidak taat kepada parti.

“Sekarang ini dia suruh pula Perdana Menteri gunakan kuasanya supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) segera luluskan permohonan UMNO meminda perlembagaan.

“Mereka ingat Perdana Menteri boleh gunakan kuasa sesuka hati?

“Kenyataan ini beri gambaran UMNO adalah parti above the law iaitu mengatasi undang-undang negara,” katanya di hantaran Facebook, hari ini.

Najmil Faiz menambah, rakyat sedang menilai UMNO dan imej parti itu di mata rakyat akan tercalar.

Ujarnya, soal surat perjanjian antara Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya untuk memperolehi jumlah majoriti yang cukup di Parlimen yang mana ia tidak melibatkan parti-parti politik.

“Ahli UMNO di akar umbi perlu bijak menilai supaya tidak mudah terpengaruh dengan suara sumbang ini.

“Bukan sahaja mereka menyerang PM, dulu Presiden UMNO pun mereka serang sampai ada yang dipecat.

“Apa yang penting, UMNO perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan dan kita perlu rapatkan ukhwah seperti pemimpin kita di atas ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast