MENGIKUT Akta Orang Kurang Upaya 2008, OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat. Menurut Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat pula, terdapat tujuh kategori OKU seperti kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai. Mana-mana individu warganegara Malaysia yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan atau swasta dan berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dikategorikan dalam salah satu daripada kategori OKU ini, maka mereka berhak untuk mendapatkan semua kemudahan yang disediakan untuk mereka termasuk kemudahan awam, pendidikan, bantuan dana tertentu dan sebagainya.
Hak-hak OKU ini, ia merupakan perkara yang telah dibincangkan secara meluas sama ada di peringkat nasional mahu pun global. Mereka merupakan antara kumpulan rentan dalam masyarakat. Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Orang Kurang Upaya sejak tahun 2010 yang merupakan satu langkah yang membuktikan kesediaan Malaysia untuk melaksanakan hak asasi bagi golongan OKU di negara ini. Aduan dan isu-isu berkaitan OKU akan terus dibawa kepada perhatian Suhakam. Ini termasuk pendaftaran OKU, sistem pendidikan, akses kepada kemudahan, perkhidmatan dan bangunan awam, kemudahan pengangkutan awam, peluang pekerjaan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Baru-baru ini seorang sahabat ada menceritakan satu kejadian yang mana dua orang pemandu kereta bertelagah di hadapan sebuah pasaraya. Hingar-bingar mereka menjerit dan bertempik, sehingga kelihatan seperti hendak bertumbuk, akhirnya bila dileraikan oleh orang awam, rupa-rupanya mereka berebutkan petak parkir yang dikhususkan untuk OKU atau Orang Kelainan Upaya. Tetapi yang pelik dan jeliknya, kedua-dua mereka bukanlah OKU atau membawa ahli keluarga OKU! Tak tahu malukah mereka sampai hendak menyingsing lengan mencari gaduh? Mereka masih tidak tahukah siapa OKU dan kenapa adanya kemudahan seperti itu untuk golongan OKU.
Hal ini bukanlah sesuatu yang asing di negara kita ini. Kemudahan yang dikhususkan untuk OKU selalu sahaja disalahgunakan oleh mereka yang dikurniakan Allah Taala pancaindera yang sempurna. Kemudahan yang disediakan itu tidak lain dan tidak bukan, bertujuan memudahkan pergerakan OKU melakukan urusan seharian mereka di lokasi-lokasi awam. Justeru, sikap tidak prihatin segelintir orang awam bukan sahaja menyukarkan OKU malah mereka kadangkala terpaksa membatalkan niat untuk berurusan kerana perkara tersebut.
Tidak kiralah walau apapun kategori seseorang OKU itu, sepatutnyalah terbit dalam hati dan sanubari kita yang dilahirkan sempurna ini bahawa OKU merupakan golongan yang perlukan bantuan dan keistimewaan dalam melangsungi keperluan mereka terutamanya bila berada di tempat awam. Mereka bukan meminta-minta kita untuk diberikan wang ringgit atau bantuan material, tapi cukuplah sekadar menghormati hak yang telah dikhususkan kepada mereka. Selain daripada parkir khas untuk OKU yang biasa disalahgunakan, kita juga sudah begitu lazim mendengar isu-isu penyalahgunaan tempat duduk khas OKU dalam pengangkutan awam, tandas OKU, lif khas OKU, kiosk perkhidmatan OKU, dan sebagainya oleh orang awam.
Bukan tidak ada penguatkuasaan atau kempen-kempen mengenai isu ini. Misalnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah banyak kali menyaman kenderaan orang awam yang diparkir di petak parkir OKU, atau Pegawai Penguatkuasa yang menangkap penumpang perkhidmatan awam yang duduk di tempat duduk OKU, akan tetapi ia umpama mencurah air ke daun keladi. Yang menerima saman mungkin ‘bertaubat’, tapi yang masih belum kena, tetap acuh tak acuh dengan peraturan dan melanggarnya sesuka hati. Andai kita terus-terusan mengambil kesempatan menggunakan kemudahan yang dikhususkan untuk golongan OKU ini, ia bukan sahaja menunjukkan tiadanya perasaan simpati kita kepada mereka, bahkan kita sebenarnya telah ‘merompak’ hak dan keselesaan yang sepatutnya mereka miliki. Sudahlah kita menggunakan kemudahan untuk mereka, ada keadaannya berlaku vandalisme apabila kemudahan untuk OKU tersebut dirosakkan sama ada secara sengaja mahu pun tidak.
Ingatlah bahawa golongan OKU merupakan sebahagian daripada masyarakat dan mereka juga ada sumbangan kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Janganlah kita menjadi orang yang pendek akal dengan tiada segan silu menggunakan kemudahan yang dikhususkan kepada mereka. Kadang kala secara sinis kita akan berkata: “Tidak mengapalah, mungkin mereka yang nampak sempurna itu memang ada sedikit kekurangan upaya dan layak bergelar OKU, iaitu Otak Kurang Upaya!
Oleh: Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor, Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan & Dr Izwan Harith Md Ithnan,
Penyarah Program Pengurusan dengan Pelancongan,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.