MOF Tengku Zafrul BKM Bantuan Keluarga Malaysia cash aid
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersedia melepaskan jawatan Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, Menteri Kewangan itu merupakan individu paling sesuai untuk menggalas jawatan yang disandangnya sejak 2019 kerana BN Selangor memerlukan seorang pakar dalam pengurusan kewangan.

“BN Selangor sangat memerlukan seorang individu berkarisma heavyweight seperti beliau (Tengku Zafrul) bagi berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang sangat mencabar.

“Saya ingin menggesa kepimpinan BN Negeri Selangor mempertimbangkan cadangan ini untuk segera melantik Tengku Zafrul sebagai bendahari sejurus selepas saya meletak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawatan Bendahari Selangor yang disandang Jamal bertanggungjawab penuh dalam aspek pengurusan kewangan dan pendanaan parti-parti komponen BN di 22 kawasan Parlimen dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Selangor.

Dalam pada itu, tindakan Jamal itu membuktikan bukti keikhlasannya untuk melihat Selangor mempunyai seorang pemimpin dalam kalangan individu intelek, profesional dan berwibawa.

“Keputusan saya muktamad untuk memastikan Tengku Zafrul dapat turut berada dalam barisan kepimpinan BN Selangor bersama kepimpinan sedia ada yang diterajui oleh Tan Sri Noh Omar selaku Pengerusi BN Selangor,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jamal pernah mengesyorkan supaya Tengku Zafrul dijadikan poster boy BN Selangor pada PRU-15 agar rakyat di Sungai Besar akan mendapat lebih manfaat daripada seorang pemimpin bertaraf menteri Kabinet. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast