Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menuntut sebuah portal berita memperbaiki keadaan susulan penyebaran berita tidak benar mengenai kakitangannya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporatnya, Izad Raya berkata, pihaknya tidak pernah dihubungi portal berita terbabit dan hanya berdasarkan sumber dalaman sebelum laporan itu disiarkan, sekaligus menjejaskan nama baik badan itu.

“Pihak Perkeso berharap portal itu dapat memperbetulkan situasi negatif yang telah mereka timbulkan hasil daripada penyebaran maklumat tidak benar yang telah mereka lakukan.

“Ini tentunya menjejaskan reputasi Perkeso yang sentiasa mendukung tinggi nilai-nilai integriti dalam melaksanakan amanah untuk membantu golongan sasaran dan memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, portal itu melaporkan SPRM menahan kira-kira 40 orang dalam siasatan dipercayai berkaitan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Perkeso.

Terdahulu, SPRM menahan reman 37 individu pada 15 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerjaan (PenjanaKerjaya) berjumlah RM100 juta.

Menurutnya, walaupun portal itu telah membetulkan fakta, namun berita awal yang disiarkan telah menjadi sumber berita oleh pengamal media lain yang dilihat bercanggah dengan etika kewartawanan.

“Kami memandang serius dan amat khuatir dengan laporan berita yang memetik sumber yang tidak sahih dan kredibel, yang nyata bercanggah dengan etika kewartawanan.

“Perkeso mengambil serius akan kepercayaan kerajaan dan rakyat kepada organisasi ini untuk mengagihkan dana besar dalam membantu majikan dan pekerja terkesan akibat penularan Covid-19 di bawah Program PenjanaKerjaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast