KUALA LUMPUR – Seramai tiga lagi individu termasuk seorang wanita ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.
Daripada tiga individu tersebut, seorang suspek merupakan pengarah sebuah syarikat telah ditahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga 22 Julai depan.
Permohonan reman SPRM ke atas individu itu telah dibenarkan oleh Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor di Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini pagi tadi.
Di Pahang pula, dua suspek yang merupakan pengurus syarikat turut ditahan reman selama lima hari mulai hari ini sehingga 23 Julai depan.
Reman untuk kedua-dua individu berkenaan diluluskan oleh Majistret Nor Izzati Zakaria di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Menurut sumber, pengarah syarikat berusia 46 tahun berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 8.30 malam semalam kerana dipercayai mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja secara dalam talian yang mengandungi butir matan palsu berjumlah melebihi RM1 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Lelaki berkenaan disyaki berbuat demikian sebagai tindakan bagi memperoleh peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja & Program Latihan sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Ops Hire: CEO wanita, pengarah syarikat ditahan
Kes seleweng, heret pelaku ke muka pengadilan – Saravanan
Kes seleweng dana Penjana Kerjaya: Ketua kerani antara 3 lagi diberkas SPRM
Tuntutan Palsu Dana PenjanaKerjaya: 37 Individu Direman
Tambah sumber, dua lagi suspek iaitu pengurus syarikat yang masing-masing berusia 46 dan 35 tahun pula ditahan di Pejabat SPRM Pahang kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Kedua-dua individu berkenaan dipercayai terlibat dengan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu kepada PERKESO bagi tujuan sama melibatkan nilai melebihi RM600,000.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tambahnya, operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat.
Pada 14 Julai lalu, SPRM telah menahan 37 individu di beberapa buah negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu tersebut dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama.
Semalam, dua lagi individu yang merupakan ketua pegawai eksekutif serta pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan.
Setakat ini jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Ops Hire adalah seramai 45 individu.- MalaysiaGazette