KUALA LUMPUR – Prestasi cemerlang atlet Malaysia yang merangkul tujuh pingat emas semasa Sukan Komanwel Gold Coast di Australia pada 2018 dijangka mampu dipertahan dalam temasya sama di Birmingham, England 2022 pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan keyakinan tinggi atlet Malaysia mampu memperbaiki rekod terutamanya sumbangan pingat emas dalam temasya sukan itu pada empat tahun lalu.
“Saya dan seluruh Keluarga Malaysia berharap agar kita dapat mencapai sasaran bilangan pingat yang sudah disasarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di temasya sukan itu nanti.
“Saya menaruh keyakinan amat tinggi bahawa sasaran pingat negara dapat boleh dicapai menandingi bilangan tujuh emas yang pernah dimenangi oleh jaguh-jaguh kita semasa Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, Australia.
“Justeru, atlet negara ke Birmingham ini harus membuktikan keupayaan dan berjuang habis-habisan bagi menterjemahkan kejayaan yang bakal menjadi kebanggaan diri dan Keluarga Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham ke-22 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Pada temasya sukan itu, kontinjen negara menghantar 105 atlet, 44 pegawai dan 13 kakitangan sekretariat yang diketuai Datuk Shahrul Zaman Yahya selaku Chef de Mission bagi memastikan misi ke Birmingham kali ini berjalan lancar dan berjaya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri melihat sukan sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat serta menjadi wadah membentuk kebersamaan Keluarga Malaysia.
“Jadikanlah sukan sebagai jambatan dan instrumen untuk bersatu-padu serta semarakkan nilai-nilai ini untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan damai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette