Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah membenarkan permohonan aktivis, Haris Ibrahim dan dua lagi peguam, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai yang mempersoalkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Ketiga-tiga mereka telah menuntut pengisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan SPRM terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin telah membuat ketetapan Mahkamah Persekutuan adalah forum yang betul dan sesuai untuk mendengar perkara membabitkan badan kehakiman secara keseluruhan.

Jelas Noorin ketika prosiding petang tadi, siasatan oleh SPRM ke atas hakim Mahkamah Tinggi yang masih lagi berkhidmat dilihat oleh pemohon serta awam sebagai pencerobohan ke atas doktrin pengasingan kuasa.

Selain itu, ia seolah-olah badan kehakiman sedang diserang.

“Mahkamah mengambil maklum perbezaan pendapat dan pandangan yang diberikan mengenai isu ini dan bersetuju ini adalah perkara yang penting kerana ia memberi kesan kepada badan kehakiman secara keseluruhan.

“Keputusan akhir dan muktamad Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi berhubung persoalan ini yang berkaitan dengan badan kehakiman secara keseluruhan adalah sungguh penting.

“Mahkamah berpendapat rujukan ke Mahkamah Persekutuan memandangkan ia membabitkan badan kehakiman secara keseluruhannya,” katanya.

Judge Mohd Nazlan Mohd Ghazali 1MDB SRC International conflict of interest Najib Razak
Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Beliau kemudian memutuskan 19 Oktober ini untuk pengurusan kes itu bagi memaklumkan mahkamah status terkini permohonan terbabit.

Untuk makluman, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga dalam saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lalu diwakili Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.

Ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi defendan kedua (SPRM) tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung tugas.

Plaintif juga mendakwa siasatan SPRM terhadap Mohd. Nazlan  adalah satu pelanggaran oleh cabang eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Sebelum ini, pada 21 Mei lalu, Azam memaklumkan siasatan terhadap Mohd Nazlan sudah dilengkapkan dengan mengumpul bukti-bukti berkaitan mengikut panduan dan prosedur ditetapkan setelah siasatan dimulakan pada Mac lepas.

Mohd. Nazlan merupakan hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah tetapkan 19 Julai untuk putuskan persoalan undang-undang berhubung siasatan Nazlan