Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil tindakan drastik terhadap pengeluar serta pengilang minyak masak botol yang degil menurunkan harga dalam tempoh dua minggu.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, tindakan kerajaan itu harus diambil sebagai pengajaran oleh pengeluar minyak masak botol agar tindakan menaikkan dan menurunkan harga dilakukan sama cepat.

Subbarow berkata, tindakan terhadap pengeluar minyak masak mesti dilakukan susulan mereka memperlakukan kerajaan seperti peminta sedekah yang sentiasa perlu memohon pertimbangan mereka bagi isu penurunan harga.

Subbarow.

“Sepatutnya mereka perlu ikut arahan kerajaan kerana apabila kenaikan harga minyak masak botol berlaku kerajaan benarkan mereka naikkan harga meskipun terpaksa terima kritikan rakyat namun apabila diarahkan turun tidak semua akan bertindak cepat atau patuh tetapan itu.

“Sudah cukup kerajaan bagi kenyataan atau nasihat kepada pengeluar mahupun pengilang minyak masak botol. Mereka (kerajaan) bukan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang hanya boleh beri pandangan.

“Kerajaan yang mentadbirkan negara jadi mereka mempunyai kuasa untuk memastikan pengilang-pengilang ini semua tidak tekan pengguna dengan menaikkan harga barang tambahan pula ekonomi negara baru sedang pulih selepas pandemik Covid-19.

“Memang pengilang cakap mereka tidak ada kartel tapi kelakuan mereka tidak menggambarkan sedemikan. Mereka dilihat lebih gemar mengejarkan keuntungan berbanding bertoleransi terhadap bebanan yang ditanggung pengguna,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Subbarow, ramai penggeluar barangan lupa akan kuasa pengguna yang mana mampu menyebabkan mereka kerugian besar sekiranya pengguna sepakat tidak melakukan pembelian.

MalaysiaGazette semalam melaporkan harga minyak masak tulen botol yang melambung lebih 40 peratus daripada harga siling sebelum ini dijangka turun sebanyak 10 peratus dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran itu dibuat dalam mesyuarat hari ini susulan penurunan harga komoditi itu.

“Sepantas mana pengilang menaikkan harga, saya harap sepantas itu juga mereka kena turunkan harga,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast