Anggota bomba melakukan pemeriksaan rel landasan kereta api yang bengkok akibat cuaca panas di Britain. Foto Twitter

LONDON – Britain merekodkan suhu paling panas melebihi 40 darjah Celcius pada hari Selasa apabila gelombang haba mencengkam Eropah.

Suhu panas itu menyebabkan landasan kereta api bengkok dan mencetuskan kebakaran di seluruh London.

Pejabat Meteorologi berkata, suhu rekod sementara baharu 40.3 darjah C direkodkan di Coningsby, di tengah England, dengan 34 tapak di seluruh negara mengalami suhu melebihi paras tertinggi berbanding sebelumnya iaitu 38.7 darjah C yang direkodkan pada 2019.

Stephen Belcher dari Pejabat Meteorologi berkata, pihaknya sama sekali tidak menyangka Britain akan mengalami cuaca setinggi itu.

“Penyelidikan yang dijalankan di Pejabat Meteorologi menunjukkanhampir mustahil untuk United Kingdom mengalami 40 darjah Celcius tetapi perubahan iklim yang didorong oleh gas rumah hijau telah menjadikan suhu melampau ini ada tidak mustahil,” katanya.

Perkhidmatan kereta api di laluan utama dari London ke pantai timur dan barat negara itu dibatalkan, syarikat elektrik melaporkan gangguan besar-besaran dan pusat bandar yang biasanya sibuk kelihatan sunyi.

Network Rail menghantar tweet beberapa gambar yang menunjukkan rel landasan kereta api bengkok.

Pasukan Bomba London mengisytiharkan insiden besar dan menggesa orang ramai berhenti melakukan barbeku, ketika ratusan anggota bomba memadamkan kebakaran di seluruh ibu negara.

Di sebelah timur, kebakaran besar menyambar rumah-rumah di perkampungan Wennington dan membakar kira-kira 40 hektar kawasan kejiranan yang kering.

Di tempat lain, kawasan padang rumput yang luas di sekitar ibu negara terbakar, menyebabkan asap berkepul-kepul di jalan-jalan utama dan kawasan berhampiran.

Perkhidmatan Ambulans London berkata, ia telah menerima 400 panggilan sejam kerana cuaca panas yang melampau.

“Kami melihat peningkatan dalam bilangan pesakit yang mengalami pendedahan haba, kesukaran bernafas, pening dan pengsan,” kata Peter Rhodes, timbalan pengarah operasi ambulans. – Reuters