Peguam Muda Amanah, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda bercakap pada sidang media berkenaan Menuju Demonstrasi Aman #TangkapAzamBaki di Wisma Amanah Nasional, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (Amanah) mengecam sekerasnya tindakan Bukit Aman yang hadir ke ibu pejabat parti itu, hari ini tanpa sebarang makluman.

Peguam Fadhli Umar Aminolhuda berkata, lebih dikesali apabila salah seorang pegawai Wisma Amanah dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung flashmob yang dianjurkan parti itu pada 16 Julai lalu.

“Kami mengecam tindakan intimidasi yang terus dilakukan oleh pihak Kerajaan BN/PN pada hari ini.

“Walaupun isu yang diperjuangkan khususnya oleh Amanah ini bagi kepentingan rakyat keseluruhannya iaitu berkaitan kenaikan harga barang.

“Walau bagaimanapun, kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan percaya bahawa mereka hanya menjalankan arahan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa melipatgandakan usaha untuk menangani isu kenaikan harga barang yang membebankan rakyat.

“Sepatutnya kerajaan memfokuskan usaha memerangi sindiket minyak paket serta jenayah lain.

“Ia berkait rapat dengan kenaikan harga barang dan bukannya sibuk untuk menghalang dan mendiamkan suara dan resah hati rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette