Tan Sri Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menyifatkan laporan polis yang dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan memberi kesan kepada UMNO.

Sebaliknya, beliau menegaskan keputusan yang dibuat oleh Najib menghentikan bayaran kepada Kesultanan Sulu pada tahun 2013 atas kapasiti Perdana Menteri yang memerintah kerajaan ketika itu.

“Najib mesti ada alasan yang kukuh mengapa bertindak menghentikan bayaran kepada Kesultanan Sulu ketika era pemerintahannya.

“Beliau (Najib) buat tindakan itu bagi pihak kerajaan bukannya atas dasar parti, jadi saya rasa tidak timbul isu UMNO terpalit dalam isu ini mahupun terkesan sama sekali,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut Yussof berkata, tindakan Rafizi Ramli membuat laporan polis terhadap Najib membabitkan isu Kesultanan Sulu itu hanya satu permainan politik.

“Rafizi ghairah menang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebab itu mainkan isu politik sebegini.

“Bagi saya, Malaysia merupakan negara berdemokrasi jadi sesiapa saja boleh buat laporan namun buktinya mesti disabitkan di mahkamah untuk tindakan lanjut.

“Malah, Najib mesti akan pertahankan mengapa dia berbuat sedemikan sekiranya memerlukan pembelaan daripada pihaknya,” katanya.

Semalam, beberapa pemimpin PKR yang diketuai Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli membuat laporan polis terhadap Najib Razak berhubung dakwaan kecuaian bekas perdana menteri itu berkaitan tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Rafizi berkata, pentadbiran pimpinan Najib ketika itu gagal mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan, selepas menghentikan bayaran kepada Kesultanan Sulu pada 2013, mendorong warisnya memulakan tuntutan.

“Najib sepatutnya mengambil langkah yang perlu untuk mengelak sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap kerajaan, selepas menghentikan bayaran kepada mereka (waris Kesultanan Sulu),” kata bekas ahli Parlimen Pandan ketika ditemui di pekarangan luar Balai Polis Setiawangsa. – MalaysiaGazette