Sindiket pelaburan bitcoin dalam talian sasarkan warga tempatan tumps dengan tertangkapnya lima suspek warga tempatan semalam.Ihsan IPD Kajang

KAJANG – Satu sindiket pelaburan bitcoin atas talian yang didalangi warga tempatan tumpas dengan tertangkapnya lima lelaki dalam serbuan di sebuah kondominium, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek menyamar sebagai wanita di laman media sosial untuk menarik perhatian mangsa lelaki untuk melakukan pelaburan yang menggunakan platform Veltratrading.net.

“Pemeriksaan lanjut di dalam unit yang didiami suspek polis berjaya melakukan rampasan sebanyak lima unit komputer riba dan 16 unit telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Petaling Jaya di kawasan pentadbiran Balai Polis Batu 9 Cheras.

Tambah beliau, semakan lanjut mendapati sindiket yang menjadikan unit kondominium sebagai markas operasi pelaburan bitcoin dalam talian itu telah beroperasi selama tiga bulan.

Menurut Mohd Zaid, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, suspek yang berusia antara 23 hingga 32 tahun telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang dan permohonan reman diluluskan untuk mereka ditahan selama dua hari sehingga esok.

Beliau memberitahu, mangsa penipuan sindiket ini dinasihatkan
membuat laporan polis di balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Insp Tanaseelan di talian 012-4416412. – MalaysiaGazette