KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna Jun 2022 meningkat 3.4 peratus kepada 127.4 berbanding 123.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 (1.9%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan Jun 2022.
Sementara itu, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada inflasi keseluruhan kepada 3.4 peratus.
Pengangkutan meningkat 5.4 peratus diikuti oleh restoran & hotel (5.0%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.4%); pelbagai barangan & perkhidmatan (2.2%) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (2.2%).
Kesemua subkumpulan bagi makanan & minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan antara 2.8 peratus hingga 11.9 peratus.
Sementara itu, komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 6.6 peratus, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.
Antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (10.5%), Nasi berlauk (9.7%), Masakan daging (7.8%) dan Makanan berasaskan mee (7.0%).
Mohd Uzir menambah, ayam yang mempunyai wajaran terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) meningkat sebanyak 17.2 peratus berbanding peningkatan 13.4 peratus pada Mei 2022.
Purata harga ayam mentah pada bulan Jun 2022 adalah sebanyak RM10.02 sekilogram berbanding RM8.55 pada bulan Jun 2021.
Peningkatan harga ayam ini adalah selari dengan kenaikan input pengeluaran makanan dunia seperti jagung (14.8%), gandum (60.9%) dan kacang soya (19.9%) yang merupakan komposisi terbesar penyediaan dedak ayam.
Selain itu, daging babi turut mencatatkan peningkatan 14.6 peratus berbanding 10.2 peratus pada bulan sebelumnya. Kenaikan harga daging babi disumbangkan oleh peningkatan harga makanan haiwan.
Di samping itu, penularan penyakit demam babi Afrika telah memberi kesan kepada bekalan daging babi.
Subkumpulan Sayuran-sayuran meningkat 8.0 peratus pada Jun 2022 dengan kenaikan disumbangkan oleh tomato (24.6%) dengan purata harga RM6.74 per kilogram (Jun 2021: RM5.33), cili padi (24.1%) dengan purata harga RM8.81 per kilogram (Jun 2021: RM6.53) dan Bendi (20.5%) dengan purata harga RM9.31 per kilogram (Jun 2021: RM7.40).
Sementara itu, Telur ayam yang menyumbang sebanyak 22.8 peratus kepada keseluruhan wajaran subkumpulan Susu, keju & telur telah meningkat sebanyak 12.7 peratus.
Selain itu, kenaikan subkumpulan ini juga disumbang oleh kenaikan telur masin (16.8%) dan susu pekat manis (13.3%).
Peningkatan dalam kumpulan pengangkutan pula disebabkan terutamanya oleh peningkatan purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 sebanyak 80.0 peratus (RM4.77 seliter) berbanding RM2.65 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan harga minyak ini adalah kesan daripada peningkatan harga minyak mentah Brent (64.3%) kepada $AS120.08 setong pada Jun 2022.
Inflasi bagi suku tahun kedua 2022 meningkat 2.8 peratus kepada 126.6 berbanding 123.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya dan bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi meningkat 1.1 peratus berbanding suku tahun
pertama 2022 (0.9%).
Sementara itu, inflasi bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.6 peratus berbanding Mei 2022.
Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh pengangkutan dan restoran & hotel yang mana kedua-duanya meningkat kepada 1.3 peratus, diikuti oleh makanan & minuman bukan alkohol (1.2%).
Daripada 552 item, sebanyak 446 item (80.8%) merekodkan kenaikan harga di mana 48 item menunjukkan peningkatan melebihi 10.0 peratus berbanding 41 item pada Mei 2022.
Sementara itu, 54 item menunjukkan penurunan dan 52 item kekal tidak berubah.
Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, Mohd Uzir menjelaskan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya (8.1%) manakala, Labuan dan Melaka merupakan dua negeri yang merekodkan peningkatan paling rendah, masing-masing sebanyak 2.5 peratus.
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman Bukan Alkohol dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya (8.2%) diikuti oleh Selangor (7.5%), Johor (7.3%) dan Pulau Pinang (6.8%)
dan Perlis (6.1%).
Peningkatan bagi kumpulan ini terutamanya adalah disebabkan oleh kenaikan harga daging dan sayur-sayuran pada Jun 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette