Rakaman video tular pergaduhan di sebuah restoran membabitkan dua keluarga.

KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan daripada lima individu berhubung satu kes pergaduhan yang berlaku di sebuah restoran makan di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan telah dijalankan terhadap pergaduhan membabitkan sekumpulan individu termasuk wanita selepas satu video yang dimuat naik oleh pengguna Facebook tular.

Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Dang Wangi menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Susulan itu, seramai lima individu dipercayai terlibat dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu telah dipanggil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kertas siasatan kes tersebut sedang dalam proses untuk dilengkapkan dan ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu video berdurasi 56 saat itu memaparkan mengenai pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di sebuah restoran makan.

Dalam video berkenaan kelihatan seorang lelaki yang datang bersama keluarga untuk makan direstoran itu dilihat mengangkat kerusi plastik dan baling ke arah seorang lelaki yang duduk sekeluarga untuk makan di meja sebelah.

Lelaki yang membaling kerusi itu kemudian meluru ke arah lelaki meja sebelah lalu memukulnya.- MalaysiaGazette