Panda jantan An An. Foto Ocean Park

TAIPEI – Panda jantan tertua di dunia yang ditempatkan sebuah taman zoo di Hong Kong disahkan mati semalam.

Nyawa panda yang dipanggil An An, telah diakhiri pada usia 35 tahun – setara dengan105 tahun umur manusia.

Pegawai di Ocean Park berkata, keputusan untuk mengakhiri nyawa An an diputuskan selepas tahap kesihatannya merosot sejak beberapa minggu lalu.

An An, bersama pasangannya Jia Jia, telah dihadiahkan kepada Hong Kong oleh Kerajaan China pada tahun 1999.

Pihak berkuasa Ocean Park berkata, pengambilan makanan panda ini telah menurun secara progresif, sehingga ia berhenti mengambil makanan pepejal sama sekali dan hanya hidup dengan air dan minuman elektrolit.

Penjaga panda juga mendapati tahap aktivitinya telah menurun dan tempoh rehatnya semakin lama.

Zoo itu akhirnya memutuskan untuk membunuh beruang itu “untuk mengurangkan ketidakselesaan ke atas panda tua ini,” kata mereka dalam satu kenyataan.

“An An telah membawa kami kenangan indah dengan pelbagai detik yang menyenangkan hati. Kebijaksanaan dan keceriaannya akan amat dirindui,” kata Paolo Pong, Pengerusi Ocean Park Corporation.

Dilahirkan kawasan hutan di Sichuan, An An tiba bersama pasangannya di Hong Kong pada tahun 1999.

Tetapi pasangan betinanya, Jia Jia, meninggal dunia pada 2016 pada usia 38 tahun, menjadi panda betina tertua dalam kurungan.

Dua lagi panda – Ying Ying dan Le Le masih kekal di zoo Ocean Park.

Purata jangka hayat spesies ini adalah di bawah 20 tahun di alam liar, tetapi boleh hidup lebih lama dalam kurungan. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast