Taman Eko Rimba Beserah (TER) Beserah yang terletak di Hutan Simpan Beserah

KUANTAN – Taman Eko Rimba Beserah (TER) Beserah yang terletak di Hutan Simpan Beserah di sini ditutup sementara bermula 21 Julai ekoran terdapat kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.

Notis penutupan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan pintu masuk di kawasan tumpuan pengunjung ini telah di pasang tali pita amaran berwarna kuning.

Media semalam melaporkan Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata, pihaknya terpaksa bertindak menutup sementara TER Beserah sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan nanti.

Tali pita kuning amaran telah dipasang susulan penutupan sementara Taman Eko Rimba Beserah (TER) Beserah ekoran terdapat kes jangkitan ‘leptospirosis’ atau kencing tikus.

Tindakan diambil selepas difahamkan dua remaja dipercayai dijangkiti kencing tikus setelah mandi di kawasan berkenaan baru-baru ini dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Katanya, keadaan TER Beserah didapati tidak terurus berbanding beberapa TER yang terdapat di daerah ini kerana tidak mempunyai operator untuk melakukan aktiviti menyelenggara.

Susulan itu, Regina turut dilaporkan menasihati penduduk setempat termasuk pelancong supaya tidak cuba masuk ke kawasan perkelahan itu sebelum ia disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

Orang ramai juga disaran mengunjungi TER Sungai Pandan dan TER Berkelah sebagai lokasi alternatif jika ingin melakukan aktiviti perkelahan sambil mandi manda.- MalaysiaGazette