Kereta milik seorang lelaki wara Singapura yang hilang seminggu yang lalu akhirnya ditemui semula di sebuah Kondominium di Putrajaya 19 Julai lalu. Kredit foto: SG Road Vigilante

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta jenis Honda Type R milik seorang lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang pada 16 Julai lalu ditemui di Putrajaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehawan Mohammad berkata, kereta yang dilaporkan hilang di Genting Highlands itu ditemui pada jam 10.49 malam Selasa lalu.

“Berdasarkan maklumat orang awam,pada Selasa lalu pihak polis telah menemui semula kereta milik pengadu yang diletakkan di kawasan parking Blok H Tingkat 1, Putri Palma Condominium, IOI Putrajaya.

“Sepasukan pihak polis dari balai polis Dato Abu Bakar Baginda yang telah ke lokasi penemuan mendapati kereta yang dilaporkan hilang di Genting Highlands telah memasuki kawasan parkir Kondominium De Palma dalam keadaan asal sebagaimana dilaporkan hilang dengan menggunakan nombor pendaftaran asal.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pihak polis juga mendapati kereta ini telah diubahsuai dari warna asal iaitu biru muda kepada warna putih serta nombor pendaftaran telah ditukar kepada nombor pendaftaran lain apabila dikesan memasuki semula parking kondominium ini pada 19 Julai lalu jam 6.30 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pemilik kenderaan bersama dengan pegawai penyiasat polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Genting Highlands hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan ke atas kereta yang ditemui dengan bantuan pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia.

Ujarnya, pemeriksaan kereta dijalankan dengan menggunakan kunci daripada pemilik kereta dan hasil pemeriksaan mendapati kereta ini adalah hilang di Genting Highlands berdasarkan nombor enjin dan casis.

“Selain itu, pihak polis turut menemui aksesori asal kenderaan ini iaitu ekzos dan spoiler di dalam bonet kenderaan manakala rim asal telah ditukar kepada rim yang lain.

“Rampasan kenderaan curi ini telah dibuat oleh pihak polis dari Balai Dato Abu Bakar Baginda dan kemudiannya telah diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah IPD Genting Highlands untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette