Young Syefura Othman

KUALA LUMPUR – Lebih banyak protes rakyat mengenai kenaikan harga barang dan isu tekanan ekonomi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, pembangkang akan terus memberikan tekanan terhadap kerajaan memastikan rakyat terbela.

Justeru, pihaknya akan mendesak kerajaan supaya memenuhi lima tuntutan yang dibawa oleh pelbagai pihak dalam Perhimpunan Turun Harga Barang yang diadakan baru-baru ini.

“Kos sara hidup semakin tinggi dan pelbagai isu lain yang timbul, perhimpunan atau protes adalah salah satu kaedah dirasakan paling berkesan untuk menekan kerajaan agar mendengar suara hati rakyat secara serius.

“Tujuan kami membuat protes adalah untuk menyatakan suara rakyat yang kami wakili di luar sana, walaupun mereka tidak menyertai namun kami tahu mereka menyokong perjuangan ini.

“Bagi saya, rasanya akan ada lagi protes-protes pada masa akan datang, protes menentang kenaikan harga barang dan tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat tidak akan berhenti sehingga pilihan raya diadakan kerana kami mahu memberi tekanan kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian segera,” katanya lebih mesra sebagai Rara ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau antara 10 individu yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk dirakam keterangan mengenai Himpunan #Turun Harga Barang yang diadakan Sabtu lalu di ibu negara.

Tambah Rara, rakyat yang menyokong perjuangan tersebut boleh menilai sendiri suasana protes ketika diadakan secara aman memandangkan tiada sebarang kekacauan berlaku.

“Ini adalah salah satu hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan kehendak mereka selepas ditekan dengan kenaikan harga barang. Maka terpulang kepada rakyat untuk menyertai protes aman ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli menyatakan pihaknya akan terus bersuara memastikan lima tuntutan antaranya mengekalkan subsidi makanan dan turunkan harga barang serta memotong gaji menteri Kabinet agar didengari dan diselesaikan kerajaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim bercakap kepada media selepas keluar dari balai polis bagi memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, Foto MUHD NA’IM, 25 JULAI 2022.

Baginya, suara tersebut tidak boleh diketepikan kerana ia bukanlah bersifat politik atau kepentingan peribadi sebaliknya bertitik tolak mengenai kebajikan rakyat yang makin terhimpit dengan kenaikan harga barang.

“Kami bersuara soal kebajikan masyarakat yang makin tenat, ramai yang makin terkesan. Sebarang bentuk protes adalah hak untuk rakyat sesuai dengan Perlembagaan malah sudah jadi satu kewajipan moral untuk golongan politik dan aktivis menyuarakannya,” katanya.

“Kami bimbang kerajaan akan mengambil tindakan menyusahkan rakyat seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu apungkan harga siling (ayam) dan penarikan subsidi sektor keperluan rakyat jika masalah rakyat tidak disuarakan tepat pada masanya,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast