Ishak merenung kerusi berusia lebih daripada umurnya yang kini menjadi tular di laman media sosial sejak kebelakangan ini.

BATU PAHAT – “Ia ibarat bila dah semakin berusia, kita kalau ada isteri, kita semakin benci ke semakin sayang? Mesti lah semakin sayang kan?

“Begitu lah pandangan saya terhadap kerusi antik berkenaan,” kata seorang tukang gunting rambut warga emas, Ishak Dahlan, 77, di Kampung Parit Kecil, Batu Pahat apabila kerusi yang digunakan menjadi tular di laman media sosial beberapa hari ini.

Jelas Ishak, walaupun kerusi itu dilihat buruk namun ia terlalu sentimental kerana ia telah digunakan sejak beliau mula mengusahakan perniagaan pada awal 1960-an.

“Saya umpamakan sebegini kita makin lama kalau hidup bersama mesti kita jadi sayang, jadi macam gitu juga saya dengan kerusi antik ini dan syukur Allah memberi rezeki yang begitu cukup dan selesa kepada saya dan keluarga.

Kerusi antik itu dibeli pada harga RM45 dengan seorang lelaki berbangsa Cina dan ia diletakkan di kedainya hingga hari ini.

IMG_3196

“Walaupun kerusi berkenaan nampak sudah lama, tetapi ia masih dalam keadaan baik dan saya memang sayangkan dia walaupun kain-kain kerusi dah koyak,” ujarnya.

Ishak berkata, komponen kerusi antik berkenaan yang menggunakan kayu dan besi logam masih lagi kukuh.

Beliau berkata, ada penggemar barangan antik menawarkan harga lumayan untuk membeli kerusi itu,namun ditolaknya.

Mengulas mengenai dirinya yang tular di media sosial, Ishak mengakui beliau terkejut orang ramai memperkatakan perniagaan kedai gunting yang diushakannya itu.

“Pada awalnya ada dua wanita yang mahu mengambil gambar kerusi antik berkenaan tetapi tidak menyangka perkara berkenaan tular di media sosial.

“Saya berharap orang ramai tidak salah faham dengan gambar yang tular berkenaan dan nampak seperti saya berada dalam keadaan susah.

“Sememangnya keadaan kedai gunting rambut saya ini agak sudah lama dan hanya dilengkapi kemudahan serta peralatan asas menggunting sahaja tetapi tidak lah seperti apa yang disangkakan dalam media sosial berkenaan,” katanya.

Tambah Ishak, walau apa pun dia sekeluarga terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi menziarahinya. – MalaysiaGazette