Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah membabitkan gagal mengisytiharkan aset RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam kes Tan Sri Shahrir Ab Samad akan membuktikan bekas Pengerusi Felda itu terlibat secara langsung dengan aktiviti pengubahan wang haram apabila memperoleh wang berjumlah RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata terdapat keterangan lisan daripada saksi pendakwaan bagi membuktikan tertuduh (Shahrir) memperoleh wang itu yang dimasukkan ke dalam akaun bank Public Islamic miliknya melalui sekeping cek bertarikh 27 Nov 2013.

“Terdapat juga keterangan bahawa tertuduh tidak melaporkan pendapatan sebenar itu di dalam Borang Penyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 dan ini membuktikan tertuduh telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi menyebabkan hasil daripada satu aktiviti haram,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut Mohd ‘Afif pihak pendakwaan akan memanggil kesemua saksi yang berkenaan bagi membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh sama ada melalui keterangan secara terus atau secara tidak langsung.

Shahrir yang memakai sut berwarna hitam tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 8.20 pagi.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi dan Natrah Fareha Rahmat.

Pada prosiding hari ini, Shahrir diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Syahrul Syazwan Salehin dan Shazreen Mohd Hatta.

Selepas pernyataan pembukaan dibacakan, pendakwaan memanggil saksi pertamanya iaitu Penolong Pegawai Tadbir Tinggi, Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, Rosli Mat Jinun, 49, untuk memberi keterangan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast