Sulaiman Md Ali

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) diarah melakukan semakan terhadap dakwaan kemungkinan berlaku ketirisan dalam kutipan yuran terhadap perniaga di Jonker Walk berjumlah lebih RM30,000 sebulan.

Arahan itu dikeluarkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mahu MBMB membentangkan laporan semakan itu bersama Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong dan Jawatankuasa Jonker Street.

Beliau mengarahkan perkara itu bagi membalas soalan tambahan daripada Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) yang mempersoalkan apakah usaha dilakukan Jawatankuasa Jonker Street untuk mencegah kejadian kebakaran di pusat pelancongan itu sehingga mengorbankan nyawa penyewa di situ baru-baru ini setelah mengutip yuran yang tinggi sehingga RM30,000 sebulan.

Jailani (BN-Rembia) ketika menjelaskan perkara itu berkata, tidak banyak dapat dilakukan agensi kerajaan memandangkan kawasan berkenaan terletak di bawah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang memerlukan kebenaran mereka untuk melakukan sebarang perubahan.

Penjelasan itu bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati Chee Leong yang mempersoalkan adakah berlaku ketirisan kutipan yuran daripada 500 peniaga di situ sehingga jawatankuasa berkenaan meraih puluhan ribu sebulan.

Low Chee Leong

Jailani kemudian menjelaskan beliau sudah melihat audit jawatankuasa berkenaan dan terdapat beberapa kos tersembunyi yang perlu ditanggung mereka menyebabkan keadaan dewan kembali tegang.

Keadaan itu memaksa Sulaiman bangun dan mencelah dengan mengeluarkan arahan terbabit.

“Bagi menjawab soalan berlaku ketirisan atau tidak, saya panggil MBMB berbincang, panggil dua-dua pihak termasuk Kota Laksamana lihat apakah benar ia melebihi RM30,00 sebulan atau sebaliknya.

“Ini dalam dewan saya arahkan MBMB jumpa dengan Kota Laksamana dan pihak Jonker Walk duduk bersama dan buka buku untuk lihat perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette.