Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPIR – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Semalaman (OPR) merupakan langkah yang wajar bagi mengurangkan kesan inflasi.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bukan sahaja dipraktikkan oleh Malaysia malah negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS).

“Memang faktanya ialah OPR dinaikkan dan negara negara lain seperti AS pun menaikkan langkah yang serupa. Sebab itu untuk mengurangkan sedikit beban kesan daripada masalah inflasi yang sebagainya, itu langkah yang wajarlah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kali ketujuh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang cadangan penganalisis ekonomi supaya OPR bersasar dilaksanakan.

Mengulas lanjut bekas Perdana Menteri itu berkata, terpulang kepada BNM untuk mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Apa pun kita serah kepada pihak BNM dan Kementerian Kewangan (MOF) pada dasarnya ia  terletak pada polisi kewangan untuk ambil kira bagaimana langkah seterusnya kerana dikatakan tahun hadapan keadaan akan lebih sulit,” katanya.

Sebagai rekod, BNM baru-baru ini menjelaskan keputusan untuk menaikkan OPR  adalah demi memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan berkata, kenaikan itu perlu dibuat bagi mengelakkan turun naik harga yang keterlaluan dalam ekonomi. – MalaysiaGazette