Menara Kenanga di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Kalangan bank pelaburan tempatan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sekurang-kurangnya 25 mata asas (bps) menjelang akhir tahun ini, menjejaki kenaikan kadar 75 bps oleh Rizab Persekutuan (Fed)  Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) dalam nota tinjauannya hari ini berkata, ia mengunjurkan BNM mengekalkan sentimen kecenderungan menaikkan kadar faedah dan meningkatkan OPR sekurang-kurangnya 25 bps pada setiap dua lagi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk tahun ini yang dijadualkan pada 7 hingga 8 Sept dan 2 hingga 3 Nov.

Katanya,  langkah agresif Fed untuk mengurangkan inflasi menunjukkan ia akan terus meningkatkan kadar faedah yang ketara, pada perbelanjaan pertumbuhan.

Menurut Kenanga, di Malaysia, tekanan inflasi semakin meningkat dengan mencatatkan 3.4 peratus lebih tinggi daripada jangkaan pada Jun 2022 berbanding 2.8 peratus pada Mei 2022 berikutan peningkatan permintaan serta perbelanjaan berpuncakan pelancongan susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan sekatan COVID-19 yang dimansuhkan.

“Seiring dengan jangkaan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terus dipacu oleh pemulihan permintaan domestik yang lebih kukuh, kami meramalkan BNM mengekalkan kecenderungan menaikkan kadar faedah dan meningkatkan OPR sekurang-kurangnya 25 bps pada setiap dua lagi mesyuarat MPC pada tahun ini,” menurut Kenanga.

Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan unjurannya untuk BNM meningkatkan OPR dengan penambahan 25 bps ketika mesyuarat MPC pada September, melabuhkan tirai 2022 dengan OPR 2.5 peratus berbanding kadar semasa 2.25 peratus.

“Pembukaan semula sempadan antarabangsa, peralihan kepada status endemik COVID-19 dan skim pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dijangka menyokong KDNK Malaysia pada suku kedua 2022,” katanya dalam nota berasingan.

Bagi AS, HLIB menjangkakan Fed akan terus meningkatkan kadar faedah dalam masa terdekat walaupun ia sedar kadar faedah yang lebih tinggi mungkin mewujudkan kebimbangan kepada berlakunya kemelesetan berikutan pengeluaran perindustrian merosot sedikit pada Jun, manakala perbelanjaan penggunaan peribadi turut menguncup pada Mei. – BERNAMA