Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad beramah mesra dengan tetamu selepas Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu di Philea Mines Resort Seri Kembangan, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Politik Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada perkauman kerana ia boleh memainkan peranan yang besar, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, meskipun perkara itu cuba dielak namun realiti masyarakat di negara ini akan memilih wakil rakyat berasaskan kaum bagi mewakili mereka.

“Di Malaysia, perkauman memainkan peranan yang besar dalam politik. Rakyat memilih wakil rakyat berdasarkan kaum bagi mewakili mereka.

“Perkauman di Malaysia tidak boleh diketepikan orang politik jika ingin menang. Sebab itu kita tidak boleh bentuk kerajaan yang kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi berkata, parti politik Melayu tidak boleh mencipta kemenangan tanpa sokongan bukan Melayu dan ia menyebabkan kesukaran untuk menjayakan agenda Melayu.

Ujarnya, meskipun masyarakat Melayu sebanyak 70 peratus daripada kesuluruhan rakyat Malaysia tetapi parti politik Melayu gagal mendapat sokongan padu kerana kewujudan banyak parti politik berteraskan bangsa Melayu.

Situasi itu, katanya, menyaksikan parti politik Melayu terpaksa bergantung dengan undi bukan Melayu untuk menang dan membentuk kerajaan.

“Mereka (parti Melayu) bergantung kepada bukan Melayu untuk menang, ini yang menjejaskan untuk melaksanakan apa yang orang Melayu mahukan.

“Kalau 70 peratus (orang Melayu) sokong satu parti, kita kuat. Sekarang ini nak dapat dapat 30 peratus sokongan (pengundi Melayu) pun susah.

“Kita bergantung kepada undi bukan Melayu sehingga terpaksa akur kepada kehendak mereka,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Pengerusi Pakatan Harapan mengakui bukan Melayu juga mempunyai kuasa politik di negara ini.

Untuk rekod, Dr, Mahathir merupakan bekas Presiden UMNO sebelum bertindak keluar parti dan menubuhkan parti berasaskan Melayu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, selepas berlaku pergolakan dalam Bersatu, Dr Mahathir sekali lagi bertindak keluar parti dan menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipengerusikannya.

Sementara itu, mengulas mengenai Rang Udang Udang (RUU) anti lompat parti, beliau berkata, Pejuang menolak sebarang perbuatan melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat.

Tegasnya, “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih berdasarkan mandat rakyat ditumbangkan oleh pihak tertentu telah mencalarkan demokrasi negara.

Jelasnya, RUU anti lompat parti diharap mampu memulihkan demokrasi negara demi memastikan mandat rakyat terpelihara. – MalaysiaGazette