KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas kehilangan semua wang simpanan miliknya berjumlah RM 5.29 juta gara-gara terjerat dalam love scam warga Amerika Syarikat.
Lebih menyedihkan mangsa turut terperangkap dengan pemberi pinjaman wang berlesen.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mangsa berusia 64 tahun merupakan seorang pengarah syarikat di Ipoh Perak dipercayai telah berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat menerusi media sosial.
“Mangsa telah berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai paramedik di Hospital California menerusi laman sosial ‘Online Dating’.
“Suspek kemudian bertindak memperdaya mangsa dengan menyatakan ada menerima kontrak besar pembekalan peralatan perubatan bernilai AS$22 juta dan perlukan dana modal permulaan,” kata beliau dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, suspek turut memberi janji manis kononnya dia secara ikhlas ingin mengahwini mangsa.
Akibat terpedaya dengan janji suspek yang mahu berkahwin, mangsa kemudiannya melakukan 120 transaksi pindahan wang ke dalam 14 akaun bank yang diberikan oleh suspek secara berperingkat berjumlah keseluruhan RM5.29 juta antara Januari hingga Jun 2022.
“Mangsa telah menggunakan kesemua wang simpanannya dan turut membuat pinjaman dengan pemberi pinjaman wang berlesen untuk memberi kepada ‘kekasihnya.
“Setelah menyedari dia menjadi mangsa penipuan, wanita malang itu segera tampil membuat laporan polis semalam dan mendesak tindakan segera pihak berkuasa.
“Semakan awal mendapati akaun bank yang terlibat itu mempunyai rekod beberapa kes penipuan yang lain menggunakan modus operandi yang sama oleh suspek ‘paramedik AS’ itu.
Kes kini sedang disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. MalaysiaGazette