KUALA LUMPUR – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$109.02 bilion (US$1=RM4.45) pada akhir Jun 2022, berdasarkan format ‘Special Data Dissemination Standard’ (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), aset mata wang asing lain pula berjumlah As$5.9 juta.
Bank pusat menambah, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.
“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara,” jelas BNM menerusi Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir Jun 2022 yang dikeluarkan pada Jumaat.
Menurut bank pusat, kedudukan jualan hadapan adalah sebanyak US$14.0 bilion pada akhir Jun 2022, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.
Bank pusat menambah, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.12 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$401.6 juta, menurut BNM.
“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” jelas bank pusat.
BNM menjelaskan, secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Jun 2022 tetap boleh guna. – BERNAMA