Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Lee Chean Chung

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR melahirkan rasa kecewa dengan Bank Negara Malaysia (BNM) yang lambat menyedari betapa kritikalnya isu penipuan atas talian hingga mengambil masa selama lima tahun.

Ahli MPP, Lee Chean Chung berkata, BNM seharusnya menyatakan pendirian jelas dan tegas tentang peranan bank-bank komersial untuk menanggung sebahagian tanggungjawab dalam kes penipuan dalam talian.

“Sebagai badan penyeliaan dan pengawalan tertinggi kepada institusi kewangan, BNM sedar akan kerugian sebanyak RM2.23 bilion dalam jenayah atas talian atau jenayah siber dari 2017 hingga Julai 2021.

“Namun saya kesal ianya mengambil masa lima tahun untuk BNM betul-betul menyedari betapa kritikal isu ini dalam menjejaskan dan memusnahkan kehidupan puluhan ribu rakyat kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Gabenor Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menerusi ucapatamanya dalam Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2022, Selasa lalu.

Nor Shamsiah mengakui, Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman jenayah siber yang berisiko tinggi dan paling banyak direkodkan di negara ini, dengan jumlah kes dan kerugian yang ditanggung lebih banyak berbanding penilaian yang dijalankan sebelum 2017.

Menurutnya, pada 2021, lebih 20,000 kes jenayah siber dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM560 juta, manakala antara 2017 hingga Julai 2021 pula, rakyat menanggung kerugian kira-kira RM2.23 bilion.

Chean Chung berkata, Nor Shamsiah perlu menyatakan pendirian tegas dan bukan sekadar memerlukan bank untuk mengubah penghantaran (OTP) melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kaedah pengesahan pelbagai faktor yang lebih selamat.

“BNM sepatutnya menempatkan bank-bank komersial di satu tempat yang lebih adil kepada pengguna dan pencarum.

“Wajibkan bank-bank komersial merangka kod industri supaya mereka wajib memberikan pampasan yang sewajarnya kepada mangsa-mangsa tersebut,” katanya.

Tambahnya, BNM perlu mengambil contoh daripada Bank OCBC Singapura di bawah penyeliaan Money Authority of Singapore (MAS) yang boleh membayar ganti rugi “kemurahan hati” sebanyak RM44.4 juta kepada 790 pelanggan mereka.

“Saya juga kurang bersetuju dengan kenyataan Nor Shamsiah yang hanya menyeru mangsa melaporkan kepada bank dan polis sahaja. Sangat jauhnya tanggapan pihak atasan berbanding dengan apa yang berlaku di bawah.

“Situasi sekarang adalah kebanyakan mangsa-mangsa dijadikan bola tendangan antara agensi PDRM dan bank, malah ramai telah hilang keyakinan terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan untuk bertindak,” katanya.

Katanya lagi, sejauh mana BNM bersedia mengumumkan bilangan mangsa yang berjaya mendapatkan semula wang tersebut daripada RM2.23 bilion kerugian itu.

“Berapa ramai orang dalaman bank-bank komersial yang berjaya didakwa dan dihadap ke mahkamah?

“BNM perlu berani mempertanggungjawabkan bank-bank komersial dalam mengatasi kemelut jenayah siber ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette