Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil diiringi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima kiri) dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Marzuki Yahya (empat kanan) bergambar bersama Bekas-bekas Ahli Parlimen UMNO yang telah menyertai PPBM pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2019

LULUSNYA Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan ahli Parlimen pastinya melegakan rakyat terutama pengundi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengumumkan seramai 209 ahli Parlimen bersetuju manakala 11 lagi ahli Parlimen tidak hadir.

RUU tersebut diluluskan selepas perbahasan selama dua hari bermula pada Rabu 27 Julai melibatkan 54 ahli Parlimen.

Persoalan yang ditimbulkan oleh banyak pihak mengapakah daripada 54 ahli Parlimen yang berbahas tidak seorang pun daripada Bersatu?

Parti pimpinan Tan Sri Muhyiddih Mohd. Yassin itu mempunyai 29 ahli Parlimen!

Bersatu Malu

Tidak dapat tidak, ramai yang beranggapan bahawa parti itu berasa malu kerana mempunyai ahli Parlimen paling ramai melompat masuk ke dalam parti tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Parti yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad itu hanya memenangi 13 kerusi sahaja pada PRU14.

Namun bilangan ahli Parlimen Bersatu kemudian meningkat selepas 14 Ahli Parlimen UMNO melompat ke parti itu.

Mereka adalah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli), Datuk Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) , Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Abdul Rahim Bakri (Kudat).

Ahli Parlimen UMNO yang turut melompat ke Bersatu adalah Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Mohd. Edris (Libaran), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu)dan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Mersing).

Selain itu turut menyeberang adalah Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Yamani Hafes Musa (Sipitang), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Hampir kesemua ahli Parlimen UMNO yang melompat ke Bersatu ini menerima kad keahlian daripada Dr. Mahathir yang merupakan Pengerusi Bersatu pada ketika itu.

Beliau dipilih menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan menang PRU14.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan kad keahlian PPBM kepada Bekas Ahli Parlimen UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kanan) sambil diperhatikan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kanan) dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Marzuki Yahya (kiri) pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2019

Bilangan ahli Parlimen Bersatu semakin bertambah apabila 11 ahli Parlimen PKR yang keluar daripada parti itu dalam Langkah Sheraton menyertai Bersatu.

Mereka adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal).

Turut menyertai Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Bagaimanapun Zuraida kemudiannya keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Bersatu ketika ini mempunyai 29 ahli Parlimen termasuk 23 ahli Parlimen yang melompat parti.

Ahli Parlimen Bersatu yang masih kekal adalah Muhyiddin (Pagoh), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Datuk Seri Rina Mohd. Harun (Titiwangsa), Datuk Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof (Alor Gajah).

Adakah disebabkan berasa malu kerana mempunyai bilangan ‘katak’ paling ramai menyebabkan tidak ada seorang pun ahli Parlimen Bersatu mahu menyertai perbahasan RUU Anti Lompat Parti.

Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung Bersatu bagaimanapun membidas pihak yang menyindir parti itu.

Hamzah berkata, ahli Parlimen Bersatu telah diminta untuk tidak membahaskan RUU tersebut.

“Sebenarnya rakan-rakan saya mahu berucap dalam dewan tapi saya minta mereka supaya sabar,” kata Hamzah kepada pemberita.

Bersatu jadi pemangkin RUU Anti Lompat Parti?

Tidak dapat tidak Bersatu dan Langkah Sheraton menjadi pemangkin yang membawa kepada wujudnya RUU Anti Lompat Parti.

Sebelum ini banyak percubaan dilakukan oleh pihak lain termasuk oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewajarkan pertukaran kerajaan tanpa perlu mengadakan pilihan raya.

Siapa tidak ingat peristiwa 16 September 2008? Anwar yang menjadi penasihat PKR pada ketika itu mendakwa terdapat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mahu menyertai Pakatan Harapan.

Negara menjadi gempar apabila ahli Parlimen BN beramai-ramai pergi ke Taiwan yang dikatakan sebagai lawatan sambil belajar.

“Kita pasti mempunyai jumlah (ahli parlimen) yang mencukupi, tetapi kita perlu menunggu kerana mereka kini berada di Taiwan,” kata Anwar dalam laporan akhbar The Star.

Anwar waktu itu dilaporkan berkata, beliau mempunyai maklumat bahawa ahli-ahli Parlimen BN tidak dibenarkan pulang dari Taiwan sebelum 16 September bagi menggagalkan rancangannya untuk menubuhkan kerajaan.

Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi isterinya yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan bersama barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan melaungkan kata-kata semangat selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (BGU), Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2018.

Presiden PKR itu selepas PRU14 kemudian sekali lagi mendakwa mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dan sekaligus menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun Anwar tidak mempunyai bukti beliau mempunyai angka sehingga ditolak oleh Istana Negara dan sebaliknya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih menjadi Perdana Menteri ke-9 selepas Muhyiddin meletakkan jawatan.

Bagi menstabilkan Kerajaan yang dipimpinnya kerana tidak mempunyai majoriti yang kuat, Ismail Sabri tidak ada pilihan terpaksa menandatangni Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pemimpin pembangkang.

Dalam MoU itu, antanya PH mahu Ismail Sabri membentang RUU Anti Lompat Parti.

Ramai yang melihat desakan PH itu disebabkan Kerajaan yang ditadbir mereka tumbang akibat Langkah Sheraton yang dilakukan oleh segelintir ahli Parlimen Bersatu dan ahli Parlimen PKR. Langkah yang juga disokong oleh ahli Parlimen UMNO dan Pas.

Mungkinkah RUU Anti Lompat Parti akan dibentang dan diluluskan seperti semalam sekiranya Langkah Sheraton tidak berlaku walaupun banyak ‘katak’ UMNO yang melompat masuk Bersatu dan menyertai Kerajaan PH?

Adakah RUU itu akan dibentangkan sekiranya Dr. Mahathir masih menjadi Perdana Menteri dan lebih ramai ahli Parlimen UMNO melompat menyertai Kerajaan PH?

Apapun yang pasti dengan adanya RUU tersebut tidak ada lagi mana-mana parti atau pemimpin yang boleh memujuk atau mengancam ‘katak untuk melompat’ untuk menjadi kerajaan ataupun perdana menteri.

Rakyat kini boleh menarik nafas lega. Untuk sementara politik negara stabil dan demokrasi tidak boleh dipermainkan oleh mereka yang berkuasa. – MalaysiaGazette