KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menjadikan tanggal 28 Julai sebagai Hari Anti Lompat Parti untuk memperingati peristiwa penting apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dengan majoriti dua pertiga.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, tarikh bersejarah itu sewajarnya disambut setiap tahun sebagai simbolik kemenangan rakyat sebagai pengundi apabila hak mereka kembali dihormati dan dijamin Perlembagaan.
“Kini, Malaysia sudah bersedia mengorak langkah menjadi sebuah negara stabil, maju dan berdemokrasi. Saya menyarankan kerajaan mengangkat 28 Julai ini sebagai salah satu hari yang bersejarah buat Malaysia.
“Tarikh ini mungkin boleh dinamakan ‘Hari Anti Lompat Parti’ dan disambut setiap tahun bagi memperingati kemenangan yang diperoleh rakyat.
“Pengundi tidak boleh lagi dikhianati mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada calon-calon untuk memenangkan mereka dalam pilihan raya kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen, pada Khamis.
RUU itu membabitkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 220 Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan seramai 209 ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi ahli Parlimen tidak hadir.
Tambah Lip Eng, dengan adanya Akta Anti Lompat Parti ini, wakil rakyat yang mengutamakan kuasa dan harta kini boleh ditolak dan mereka yang benar-benar mengutamakan rakyat dan negara boleh dipilih semula.
“Pengundi juga dapat memahami prinisip, misi dan visi sesebuah parti politik.
“Mereka juga boleh membezakan antara parti berjuang demi rakyat berbanding hanya gilakan kuasa, tiada berpendirian, tanpa prinsip, meraih harta dan jawatan, serta menunggang agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette