Ahmad Maslan

PONTIAN – Lima negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) perlu melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 Anti Lompat Parti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia melibatkan Johor, Melaka, Pahang, Perlis dan Perak.

Perkara itu akan dibawa ke masyuarat bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan pada 4 Ogos ini, katanya.

“Sudah pasti kami akan buat keputusan dalam MKT, ini kerana kita telah pun buat keputusan di Perhimpunan Agong UMNO bahawa kita menyokong Akta Anti Lompat Parti.

“Maka negeri seperti yang saya nyatakan tadi seperti Melaka, Johor, Pahang , Perlis dan Perak perlu mengubah perlembagaan negeri masing-masing untuk membolehkan akta itu boleh diguna pakai di negeri masing-masing.

“Perkara ini kita akan kita perjelaskan dalam mesyuarat MKT tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Terbaik di seluruh Malaysia di Sekolah Menengah Arab An-Nur di Benut hari ini.

Kelmarin Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Perkara itu telah dinyatakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas pengundian belah bahagi dijalankan.

Sejumlah 209 ahli Parlimen menyokong RUU berkenaan hingga boleh menyebabkan seseorang ahli Parlimen hilang kerusi dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti.

Manakala 11 orang ahli Parlimen tidak hadir manakala 54 orang terbabit dalam perbahasannya selama dua hari. – MalaysiaGazette