KUALA LUMPUR – Dua rangkaian pawagam tempatan, Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas (TGV) mengumumkan filem kontroversi terbitan Marvel Studio iaitu Thor: Love and Thunder tidak akan ditayangkan di Malaysia.
GSC dan TGV masing-masing membuat pengesahan itu melalui hantaran di Facebook (FB) rasmi mereka.
Melalui entri di laman sosial, GSC memberitahu Thor: Love and Thunder tidak akan ditayangkan dengan menyertakan keterangan gambar berbunyi:
“Thor: Love and ‘Takde’ secara rasminya.”
GSC menjelaskan pihaknya sudah mendapat maklum balas Disney bahawa produksi Marvel Studios bagi filem Thor: Love and Thunder tidak akan ditayangkan di Malaysia.
“Kami hargai kesabaran pelanggan dan memohon maaf atas ketidakselesaan yang timbul. Sila beli barangan eksklusif filem Thor: Love and Thunder daripada kami,” kata entri berkenaan.
Sementara itu, TGV Cinemas memohon maaf dan sudah mencuba sehabis baik menayangkan Thor: Love and Thunder di rangkaian pawagamnya di seluruh negara.
Entri itu dilengkapi emoji lambang patah hati dan kilat yang menjadi simbolik kekebalan watak Thor.
Filem sekuel keempat terbitan Marvel Studios dan diedarkan Walt Disney Studios Motion Pictures itu sepatutnya ditayangkan pada 7 Julai lalu namun ditunda kepada 21 Julai.
Namun, filem arahan Taika Waititi yang mengisahkan Thor ingin mencari ketenangan tetapi diganggu pembunuh galaksi, Gorr the God Butcher ditunda sekali lagi tanpa ada kepastian.
Filem tersebut merupakan sekuel kepada Thor, Thor: The Dark World, Thor: Ragnarok dan menjadi filem ke-29 dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).
Difahamkan, sebab mengapa filem arahan Taika Waititi itu tidak ditayangkan di pawagam Malaysia adalah kerana banyak babak yang dikatakan mempromosi dakyah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender serta terdapat unsur komedi keterlaluan tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat tempatan. – MalaysiaGazette