Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga terkejut apabila ayam yang telah proses seberat 18 kilogram (kg) yang dihantar oleh pembekal ke kedainya di Jalan Pandan Cahaya, Ampang, dekat sini, didapati hilang pada 17 Jun.

Bagaimanapun, suspek warga Myanmar berusia 26 dan 42 tahun yang disyaki mencuri dan membeli ayam tersebut ditahan polis pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat dan laporan pengadu, pada jam 10.15 malam 28 Julai pihaknya membuat tangkapan ke atas dua suspek itu.

“Semasa kejadian jam lebih kurang 7.30 pagi itu (17 Jun) pengadu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang bekerja sebagai peniaga telah sampai di kedainya.

“Pengadu kemudian terkejut apabila mendapati ayam segar yang dihantar oleh pembekal ke kedainya telah tiada dan disyaki telah dicuri.

“Hasil semakan mendapati satu beg plastik  yang mengandungi 18 kilogram ayam proses bahagian dada telah dicuri dan pengadu mengalami kerugian dianggarkan RM350,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Mohamad Farouk, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek juga mendapati suspek pertama positif dadah jenis methaphetamine.

Tambah beliau, polis turut dirampas beberapa barang kes dan sebuah kereta curi jenis Proton Saga yang dilaporkan hilang sejak Jun lalu disyaki dicuri dari Taman Cahaya Ampang dan kenderaan tersebut dipercayai digunakan untuk mencuri ayam itu.

Jelasnya, suspek telah menjual ayam proses yang dicuri itu kepada suspek kedua yang merupakan kenalannya.

Katanya,semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek kini telah direman selama empat hari sehingga 1 Ogos ini untuk membantu siasatan.

“Dengan tangkapan ini, pihak Polis IPD Ampang Jaya telah berjaya menyelesaikan tiga kes curi ayam proses di sekitar Ampang,” ujarnya.

Mohamad Farouk memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabitk kesalahan.

Tambah beliau, bagi kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda. – MalaysiaGazette