SHAH ALAM – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak menemplak Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berlagak seperti pejuang rakyat selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri dari arena politik.
Beliau berkata, jentera Barisan Nasional (BN) perlu menyedarkan rakyat dan pengundi di Selangor bahawa pemimpin seumpama itu perlu dihukum dalam pilihan raya akan datang kerana gagal menunaikan manifesto sebelum ini.
“Ingatkan kepada pengundi, janji kerajaan PH dulu yang mereka tak tunaikan. Saya tengok tape (rakaman video) lama dia, dia janji, kalau PH menang, pendidikan percuma di universiti, pengajian tinggi percuma, termasuk di IPTS.
“Lepas itu dia janji RM5,000 lagi setiap pelajar, lagi satu PTPTN dihapuskan. Tiga janji ini, wahai Rafizi, mana pergi janji ini, tak usahlah hari ini muncul balik dari gua.
“Ini seorang lagi keluar dari gua, dia duduk dalam gua, menyorok dalam gua tiga tahun lebih, tiba-tiba keluar dari gua, nak tunjuk kononnya dialah juara rakyat, orang Pahang kata beda’ah, betul-betul beda’ah,” katanya berucap pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Rafizi meminta semua pimpinan dan cabang PKR di seluruh negara membuat laporan polis terhadap bekas Najib bermula 19 Julai lalu berhubung kecuaian bekas Perdana Menteri itu sehingga membawa tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Dalam pada itu, Najib tidak berminat untuk melayani tindakan bekas Ahli Parlimen Pandan itu sebaik sahaja menang dalam pemilihan PKR selepas Kongres Nasional ke-15 Keadilan, 17 Julai lalu.
“Saya nak sebut si Rafizi sebab dia minat kat saya sehari dua ini, minat politik laa, minat lain jangan lah, saya tak minat dia, kalau dia minat saya, dia punya pasal lah.
“Pemimpin seperti inilah kita kena dedahkan, beritahu dia ini Raja Formula Songsang betul. Nama lain ada tapi saya tak nak sebut, rasa nak sebut tapi tak nak sebut, tak bolehlah sebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette