Reaksi Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah dilantik sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu pada penutupan Konvensyen Barisan Nasional Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak menafikan pelantikannya sebagai Bendahari BN Selangor satu kelebihan untuk membantu memenangkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 akan datang.

Menteri Kewangan itu percaya, jika semua pihak mampu bekerja sebagai satu pasukan, beliau yakin BN mempunyai peluang untuk merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.

“Kita sebagai satu pasukan, kita perlu bekerjasama rapat dengan Tan Sri Noh Omar sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dan pucuk pimpinan BN jika mahu menang.

“Saya baru jadi Bendahari, saya berterima kasih dengan kepercayaan diberi dan saya akan bekerjasama dengan pucuk pimpinan BN Selangor (untuk memenangkan BN),” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen BN Selangor di sini malam tadi.

Terdahulu, Noh mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu pada majlis penutupan Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City.

Selain itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dilantik sebagai Pengarah Komunikasi BN Selangor yang baharu bagi mengganti kekosongan ditinggalkan Isham Jalil sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, jawatan politik itu bukan satu jaminan atau tiket untuk kerabat raja Selangor itu bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU-15 akan datang.

“Itu terpulang kepada pucuk pimpinan BN, calon atau tidak, yang penting kita bersama untuk memastikan kita dapat menang kembali Selangor kepada BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast