KUALA LUMPUR – Pelabur asing melanjutkan pembelian ekuiti Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, walaupun pada kadar yang perlahan sebanyak RM152.9 juta minggu lepas berbanding RM191.27 juta pada minggu sebelumnya.

Jualan bersih berlaku pada Selasa lalu berjumlah RM14 juta, sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat.

MIDF Research berkata, aliran masuk bersih paling kukuh daripada dana asing pada hari Khamis sebanyak RM50.5 juta iaitu semasa dan selepas mesyuarat FOMC.

”Minggu bermula dengan aliran masuk bersih sebanyak RM25.1 juta pada Isnin lepas oleh pelabur asing dan berakhir dengan aliran masuk bersih RM18.9 juta pada Jumaat lalu.

“Manakala institusi tempatan mengekalkan jualan bersih mereka untuk minggu ketiga sebanyak RM70.7 juta. Mereka adalah penjual bersih sebanyak RM62.8 juta pada Khamis, Rabu RM36.9 dan Isnin RM11.5 juta,” kata firma penyelidikan itu.

Namun trend ini diperlahankan dengan belian bersih pada hari Selasa dna Jumaat lalu, masing-masing sebanyak RM15.2 juta dan RM25.4 juta.

Katanya, peruncit tempatan masih menjadi penjual bersih pada minggu lepas sebanyak RM82.3 juta.

Mereka adalah penjual bersih setiap hari dalam seminggu, dengan aliran keluar paling teruk pada Jumaat lepas sebanyak RM44.3 juta dan terendah pada Selasa lalu sebanyak RM1.2 juta, katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, peruncit tempatan mencatatkan jualan bersih selama lapan hari dagangan berturut-turut.

MIDF Research menambah, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih oleh pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan, utiliti dan produk dan perkhidmatan pengguna masing-masing berjumlah RM222.8 juta, RM49.8 juta dan RM25.1 juta.

MIDF berkata sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih ialah produk dan perkhidmatan perindustrian RM86 juta, teknologi RM59.2 juta dan perladangan RM12.5 juta.

Ia berkata sehingga kini, dana antarabangsa adalah pembeli bersih untuk 19 daripada 30 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM6.27 bilion.

“Institusi tempatan adalah penjual bersih selama 23 daripada 30 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih RM7.96 juta.

“Peruncit tempatan adalah pembeli bersih untuk 19 daripada 30 minggu 2022. Setakat ini, mereka adalah pembeli bersih pada RM1.7 bilion,” katanya.

MIDF berkata perlu diambil perhatian bahawa penghujung bulan Julai menyaksikan dana asing mencatat aliran masuk bersih, yang merupakan pembalikan daripada aliran keluar bersih yang dilihat pada Jun.

Ia berkata, aliran masuk bersih bagi bulan Julai ialah RM182.2 juta.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit dan institusi masing-masing sebanyak 10.98% dan 17.17%.

Menurutnya, terdapat penurunan dalam ADTV dalam kalangan pelabur asing sebanyak 8.81%. – MalaysiaGazette