JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan berusia enam bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta manakala enam yang lain cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas di kilometer 161.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Tangkak, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata kemalangan yang berlaku pada 8.30 malam itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan maut di tempat kejadian.
Beliau berkata kenderaan Perodua Alza yang dipandu bapa mangsa berusia 28 tahun, isterinya, 28, bersama lima yang lain didapati datang dari arah Pekan Tangkak menghala ke Bukit Gambir.
“Bayi itu telah terpelanting keluar dan disahkan meninggal dunia manakala pemandu dan penumpang yang lain mengalami kecederaan ringan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata bayi tersebut dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat manakala enam individu itu pula turut menerima rawatan di hospital sama.
— BERNAMA